Khamis, 26 Oktober 2017 | 5:30pm
Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam, Datuk Seri Dr S Subramaniam. - Foto Nursyahirah Marzuki

'PM tahu apa nak buat'

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) lebih arif dalam membuat keputusan berhubung perebutan kerusi Parlimen Cameron Highlands antara Parti Progresif Penduduk (MyPPP) dan MIC.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata beliau yakin Najib lebih tahu apa yang patut dilakukan berhubung isu itu.

"Pendirian kita sangat jelas, dan kita juga sudah maklumkan kepada Perdana Menteri. Saya yakin Perdana Menteri lebih tahu keputusan akhir dan apa yang patut dibuat," katanya mengulas isu berkenaan.

Berhubung hasrat MyPPP, Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas, untuk menemuinya, Subramaniam berkata sebagai pemimpin parti komponen BN, mereka sudah selalu bertemu.

"Kita ada jumpa semasa mesyuarat BN, dan ketika itu berbincang mengenai Pilihan Raya Umum ke-14," katanya.

Mengenai dakwaan Cameron Highlands diabaikan oleh MIC dan 'ditinggalkan' penyandangnya, iaitu bekas presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel, Subramaniam berkata perkara itu tidak benar dan tidak sepatutnya menjadi isu.

"Rakyat lebih tahu apa yang MIC buat. Kita membiayai semua projek di sana. Cuma berlaku masalah dalaman MIC, dan kita cuba selesaikan perkara itu," katanya.

Kayveas sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands itu yang kini disandang Palanivel.

Berita Harian X