Ahad, 3 September 2017 | 6:13pm
ZAMBRY (tengah) bersama S Subramaniam (empat dari kiri) dan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Perak, Datuk V Elango (tiga dari kanan) merasmikan Konvensyen MIC Perak ke-71 di Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

Isu calon Cameron Highlands ke mesyuarat BN

IPOH: MIC akan membangkitkan hasrat Presiden MyPPP, Tan Sri Dr M Kayveas untuk bertanding kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam mesyuarat pimpinan Barisan Nasional (BN), minggu depan. 

Presidennya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata permintaan MyPPP itu perkara biasa, namun semua keputusan mengenainya terletak pada pucuk pimpinan BN. 

Beliau bagaimanapun mempersoalkan kenyataan berbaur ugutan Kayveas yang mahu menjadi calon Bebas bertanding di Cameron Highlands jika BN tidak memilihnya.

"Semua bergantung kepada keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN untuk melihat perkara itu dan mengambil pendekatan sewajarnya berhubung kenyataan beliau (Kayveas). 

"Saya bercakap mengenai konsep parti (BN). Sekiranya beliau keluarkan kenyataan itu (calon Bebas), sesiapa sahaja boleh melakukan perkara sama. Apa akan berlaku kepada parti komponen (lain) nanti?" katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen MIC Perak ke-71 di sini hari ini yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. 

Dr Subramaniam berkata, Presiden MyPPP sudah meminta untuk bertemunya, namun sebelum pertemuan itu berlaku, Kayveas sudah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara berkenaan. 

"Beliau sudah mengadakan temu janji, namun sementara menunggu pertemuan, beliau sudah mengeluarkan kenyataan (berbaur ugutan)," katanya.  

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Subramaniam mencadangkan Kayveas bertanding kerusi Parlimen Pagoh di Johor kerana wakil rakyat kawasan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini sudah menjadi pembangkang.

"Nasihat saya kepada Kayveas lebih baik bertanding di Pagoh kerana ia dulu ditandingi UMNO, sekarang wakil rakyatnya pembangkang. Kalau lihat dari logik, eloklah beliau ke Pagoh, bukan Cameron Highlands," katanya.

Berita Harian X