Sabtu, 26 Ogos 2017 | 8:52pm
MAHDZIR menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Klang 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Unjur, Klang. - Foto Faiz Anuar

Dr Mahathir cuba raih sokongan PH

KLANG: Kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, yang tidak mempercayai 'Ketuanan Melayu' dilihat sebagai strategi untuk meraih sokongan parti lain dalam pakatan pembangkang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata bekas Perdana Menteri itu seolah-olah lupa selama menyertai UMNO, itu adalah prinsip perjuangannya sehingga beliau juga menghasilkan buku 'Dilema Melayu'.

"Takkan selepas berkawan dengan DAP tidak perlu 'Ketuanan Melayu'. Nak keluar dari Ultra Melayu, nak jadi liberal dan terima semua konsep.

"Tun nak terima 'Malaysian Malaysia' yang dibawa (Ketua Parlimen DAP) Lim Kit Siang? Kalau Tun terima, bermakna Tun terima kesamarataan kaum dalam negara. Jadi tak perlu hak Bumiputera dan keistimewaan orang Melayu.

"Tidakkah Tun terfikir kenyataan itu merugikan bangsa sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Klang di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir yang tidak percaya dengan konsep 'Ketuanan Melayu', sebaliknya beranggapan bahawa seseorang mahu menjadi 'tuan' perlu bekerja keras dan bersaing dengan dunia semasa.

Mahdzir berkata, setiap bangsa perlu bangga dengan identiti sendiri tetapi dalam masa sama perlu menghormati kaum lain dalam negaranya.

"Kaum Melayu hormati bangsa dan agama lain tetapi kita mendominasinya sebab majoritinya Melayu. Jadi sudah tentu kita hendak mendominasinya tetapi tanpa meninggalkan kaum lain dalam negara ini," katanya.

Sementara itu, Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan meluluskan pembinaan bangunan tambahan empat tingkat di Sekolah Kebangsaan Pulau Indah dan pemasangan penghawa dingin bagi dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Unjur, di sini.

39 dibaca
Berita Harian X