Sabtu, 26 Ogos 2017 | 2:47pm
ANGGOTA Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan merangkap Menteri Besar Negeri Sembilan berucap pada perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong di Rumah Komuniti Parlimen Sembrong hari ini. - Foto BERNAMA

'Jangan sakitkan hati orang Melayu'

KLUANG: UMNO tidak lagi boleh mendakwa sebagai pembela orang Melayu kerana mereka kini mempunyai banyak parti pilihan lain.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata berikutan perubahan yang berlaku dan pilihan yang banyak, UMNO kini perlu pergi kepada akar umbi jika mahu mendapatkan semula sokongan mereka.

"Frasa (ungkapan) orang Melayu bergantung kepada UMNO sudah tidak boleh pakai lagi kerana kita akan berasakan orang Melayu yang mencari kita.

"Kita mesti tukar frasa survival UMNO bergantung kepada orang UMNO, begitu juga parti komponen seperti MCA yang perlu sentiasa pergi ke akar umbi. 

"Orang Melayu kini ada banyak pilihan seperti PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Kita tidak boleh leka dan kata orang Melayu perlukan kita (UMNO), sebaliknya kita perlu orang Melayu untuk survival parti kita dan pastikan survival UMNO berada di tangan Melayu," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong di Rumah Komuniti UMNO Sembrong, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein merangkap Naib Presiden UMNO dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abd Ghani Abd Rashid.

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, berkata UMNO perlu sentiasa menawarkan perkhidmatan dan bukan hanya sekadar menyediakannya. 

Katanya, jentera parti mesti sentiasa bergerak untuk mendukung kerja parti demi kesejahteraan rakyat. 

"Orang Melayu tidak susah, (mereka) baik tetapi jangan sakiti hati mereka. Jangan sampai tahap orang Melayu benci UMNO, Barisan Nasional (BN)," katanya. 

Sementara itu, Hishammuddin menyifatkan kerakusan pembangkang untuk merampas kuasa daripada BN seperti orang 'kecanduan fitnah'.

"Mereka (pembangkang) terus menyemai budaya fitnah dan ia akan dilihat semakin menular menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14. Kita (UMNO) tidak jadi sedemikian dan mengikut rentak mereka," katanya. 

Berita Harian X