Rabu, 16 Ogos 2017 | 5:17pm
PADA 16 Mei lalu, Dr Wan Azizah mengarahkan supaya semua lantikan politik PKR dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan berkuatkuasa serta-merta. - Foto fail NSTP/Khairull Azry Bidin

Wan Azizah buat pusingan U

KOTA BHARU: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, membuat 'pusingan U' apabila mahu 78 ahli lantikan politik PKR di Kelantan kekal.

Keputusan untuk mengekalkan ahli berkenaan dengan alasan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, masih memerlukan kerjasama dengan parti itu dalam urusan pentadbiran negeri.

Pengerusi PKR Kelantan, Datuk Ab Aziz Ab Kadir, berkata keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Biro Politik Pusat yang diadakan hari ini di Kuala Lumpur.

"Lantikan politik kepada anggota PKR oleh kerajaan negeri dikekalkan atas alasan Menteri Besar Kelantan mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan negeri masih memerlukan kerjasama PKR dalam pentadbiran.

"Daripada jumlah lantikan politik itu, sebahagian daripadanya belum mengangkat sumpah dan akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya.

Ab Aziz berkata, PKR Pusat juga mengekalkan jawatannya di Kelantan dan dia akan terus komited untuk memperkukuhkan parti itu di Kelantan.

Pada 16 Mei lalu, Wan Azizah mengarahkan semua lantikan politik PKR dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu diambil selepas Majlis Syura Ulama PAS pada awal Mei lalu membuat keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR selepas mendakwa banyak pelanggaran syarat tahaluf siyasi yang dilakukan oleh parti itu.

Berita Harian X