Ahad, 6 Ogos 2017 | 5:05pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dan Ketua UMNO Bahagian Raub, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub di Raub, hari ini. - Foto BERNAMA

UMNO tuntut semula kerusi Parlimen Raub

RAUB: UMNO Bahagian Raub mahu kerusi Parlimen 080 Raub diserahkan kembali kepada parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Ketuanya, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin, berkata berdasarkan jumlah pengundi setakat di kawasan itu setakat ini, pengundi Melayu mewakili 51.49 peratus atau 28,946 orang.

Ini diikuti 21,878 pengundi Cina (38.98 peratus), 3,555 pengundi India (6.32 peratus) dan 1,836 pengundi lain-lain kaum (3.26 peratus).

Bagaimanapun, beliau berkata, pemimpin dan ahli parti itu sentiasa akur dengan keputusan kepemimpinan parti atasan mengenai kerusi Parlimen Raub.

"Kerusi Parlimen Raub sudah diwakili oleh MCA selama 40 tahun, bermula daripada tahun 1974 hingga ke 2013.

"Namun, apa jua keputusan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan Menteri Besar (Datuk Seri Adnan Yaakob) mengenai kerusi Parlimen Raub, UMNO bahagian akan terus memberi kerjasama kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

"Paling penting ialah kita semua perlu pastikan calon BN menang dan dapat merampas kembali Parlimen Raub daripada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Shahiruddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, berkata demikian pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid.

Yang turut hadir, Ketua Wanita UMNO bahagian, Zulriyaini Yahya, Ketua Pemuda UMNO bahagian, Mohd Azra Abd Wahab dan Ketua Puteri UMNO, Fatimah Md Noh.

123 dibaca
Berita Harian X