Ahad, 30 Julai 2017 | 5:44pm
AHLI Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim. - Foto Nurul Shafina Jemenon

UMNO tak pujuk Mahathir

KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan sesekali memujuk Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, kembali ke pangkuannya selepas melakukan serangan berterusan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata UMNO terpelihara dengan kesetiaan dan keikhlasan pemimpin serta ahli terhadap perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Katanya, UMNO sebagai parti keramat Melayu menyimpan banyak sejarah mengenai pemimpin yang meninggalkan parti sebelum kembali selepas tersedar melakukan kesilapan besar ketika keluar.

"Dr Mahathir harus berhati-hati dengan kenyataan kononnya tidak akan kembali ke pangkuan UMNO kerana ia boleh memakan diri sendiri, jika mahu kembali menjadi ahli UMNO tanpa dipelawa.

"Kenyataan itu bukan sesuatu yang memeranjatkan UMNO. Semua orang pun tahu beliau (Dr Mahathir) kaki 'u-turn'. Kita tidak hairan jika satu hari nanti dia kata nak kembali pada UMNO. Sudah jadi resam dalam parti perkara seperti ini kerap berlaku," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kelmarin, Dr Mahathir menegaskan tidak akan kembali semula ke pangkuan UMNO, walaupun Perdana Menteri sudah tiada dalam parti itu kerana mendakwa parti berkenaan sudah rosak dan menyimpang jauh daripada matlamat asalnya.

Berita Harian X