Jumaat, 21 Julai 2017 | 3:35pm
DR Ahmad Zahid (tengah) ketika hadir pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di Yayasan Kemiskinan Kelantan hari ini. Turut hadir Mustapa (tiga dari kiri) dan Annuar. - Foto BERNAMA

Sokong UMNO, bukan pemimpinnya - Annuar Musa

KOTA BHARU: Ahli UMNO diingatkan terus setia kepada perjuangan parti yang membela nasib rakyat dan bukannya kepada pemimpin yang boleh berubah ideologi dan perjuangan mereka.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata ahli UMNO perlu meletakkan kesetiaan kepada parti lebih utama berbanding pemimpin kerana semua pihak harus melakukan perkara sama.

"Pemimpin perlu sedar mereka tidak berjuang berseorangan dan memerlukan sokongan daripada ahli untuk terus berjuang dalam sesebuah parti.

"Bagaimanapun, jika pemimpin sendiri sudah tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti, ahlinya tidak perlu sokong kerana yang perlu sokong adalah parti bukan pemimpin, " katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dengan Bahagian UMNO Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Ketereh (YKK), di sini, hari ini.

Terdahulu majlis berkenaan dirasmikan oleh Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi

Yang turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Annuar berkata, beliau dahulu setia kepada Tun Dr Mahathir Mohamad ketika era pemerintahan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

"Dahulu Annuar seorang yang taat dan setia kepada Tun M tetapi kesetiaan itu sudah terputus selepas beliau tidak setia kepada UMNO.

"Ini kerana Annuar tidak mahu dilabel sebagai seorang yang tidak beristiqomah pada perjuangan parti," katanya.

Berita Harian X