Khamis, 28 November 2019 | 10:09pm
UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Sabirin Ja'afar dilantik Pro Canselor UTeM baharu

MELAKA: Pengerusi Lembaga Pencegahan Keganasan (POTA), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr Sabirin Ja’afar dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baharu untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 15 November lalu hingga 14 November 2022.

UTeM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan Sabirin, 55, yang merupakan anak kelahiran Kampung Ramuan China Besar, Masjid Tanah itu adalah bagi menggantikan Tan Sri Dr Hadenan A. Jalil yang meninggal dunia pada 18 September lalu.

“Pelantikan ini disempurnakan Canselor UTeM, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob selari dengan momentum UTeM ke arah kecemerlangan pendidikan teknikal yang kreatif dan inovatif terkemuka di dunia serta Revolusi Industri 4.0,” menurut kenyataan itu.

Sabirin memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1987, Sarjana Undang-undang Maritim dari University of Wales, Cardiff (1998) dan Doktor Falsafah Keselamatan Maritim dan Polisi dari Greenwich Maritime Institute, University of Greenwich, London (2007).

Beliau mula berkhidmat sebagai Pegawai Undang-Undang, Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan bermula 1987 hingga 2011, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi (2014-2016), dan Profesor Etika dan Undang-undang, Universiti Teknologi Malaysia (2011- 2014).

Selain itu, beliau pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) bermula Januari 2019 dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) (mulai Jun 2018).

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Raha Abdul Rahim dalam kenyataan sama berkata seluruh warga universiti merakamkan ucapan tahniah dan mengalu-alukan beliau untuk bersama menjayakan kelestarian pembangunan universiti itu dalam segenap aspek.

Raha turut menyatakan pelantikan tersebut seiring dengan pemerkasaan prestij universiti itu dan bertepatan dalam mengangkat keunggulan dan keperibadian cemerlang warga UTeM. – BERNAMA

Berita Harian X