Selasa, 26 November 2019 | 2:53pm
CANSELOR Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan menyampaikan Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada Zati Nazirah Abdul Rahim pada Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen ke-17 USIM di Dewan Tuanku Canselor USIM, Nilai, hari ini. - Foto Adzlan Sidek

Ilmu aqli dan naqli pelengkap ketrampilan pelajar - Tuanku Aishah Rohani

NILAI: Cabaran dunia luar yang semakin kompetitif memerlukan pelajar mempunyai asas agama Islam yang kukuh.

Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, bertitah konsep integrasi ilmu aqli dan naqli yang ditekankan universiti itu kepada pelajar menepati hasrat melahirkan insan yang mampu membangunkan diri, keluarga serta masyarakat dalam kerangka Islam.

“Adalah menjadi matlamat USIM untuk melahirkan insan yang mampu membangunkan diri, keluarga dan masyarakat dalam kerangka Islam yang sentiasa utuh pada diri dan pemikiran.

“Tambahan pula, akhir-akhir ini banyak laporan mengenai keruntuhan akhlak yang menyebabkan berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan pelbagai jenayah lain.

“Beta yakin hanya dengan ilmu yang tinggi dan kekukuhan asas kerohanian, masyarakat mampu menahan diri daripada melakukan atau terjebak dengan sebarang perlakuan jenayah yang boleh meruntuhkan masyarakat,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen ke-17 USIM di Dewan Tuanku Canselor USIM di sini, hari ini.

Turut hadir, Pro Canselor USIM, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Naib Canselor USIM, Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Sementara itu, mengenai konvokesyen hari ini pula, baginda bertitah ia adalah majlis yang disambut dengan penuh tertib dan protokol, sesuai dengan taraf universiti sebagai institusi ilmu tertinggi.

“Ia juga diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada kejayaan kamu sebagai mahasiswa setelah sekian lama bertungkus lumus mengharungi cabaran sebagai pelajar.

“Oleh itu, istiadat konvokesyen seperti ini seharusnya dihormati kerana ketinggian ilmu perlu hadir bersama ketinggian budi pekerti dan akhlak yang mulia, Bak kata orang cerdik pandai, semiskin-miskin manusia ialah mereka yang kurang adab dan budi pekerti,” titah baginda.

Pada Majlis Istiadat Pembukaan itu, Tuanku Aishah Rohani berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PHD) Da’wah dan Pengurusan Islam kepada Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak serta Ijazah Kehormat Sarjana Dakwah dan Pengurusan Islam kepada mantan pendaftar pertama USIM, Addenan Abd Rahman.

Seramai 2,629 graduan menerima ijazah dengan 95 orang penerima Doktor Falsafah; 89 orang penerima Sarjana; 136 orang penerima Diploma Pasca Siswazah dan 2,309 orang penerima Ijazah Sarjana Muda.

Graduan PhD pada tahun ini adalah dari 20 buah negara, antaranya Libya, Jordan, Iraq, Gambia, Finland, Mesir, Oman, Bangladesh, China, Yaman dan Singapura dengan graduan PhD paling ramai dari Libya iaitu 24 orang diikuti Oman (21 orang).

Pada majlis yang sama, dua orang graduan cemerlang dipilih menerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) iaitu pelajar Sarjana Muda Perubatan dan Sains Kesihatan, Nurul Mukminah Muhammad Suzuri serta pelajar Sarjana Muda Pengajian Sunnah dan Pengurusan Maklumat, Zati Nazifah Abdul Rahim.

Dua orang penerima Anugerah Canselor pula ialah pelajar Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, Sharifah Thahirah Syed Mustafa serta pelajar Doktor Falsafah Komunikasi (Siswazah) dari Fakulti Kepemimpinan dan Pengurusan, Idris Ismail.

Berita Harian X