Selasa, 5 November 2019 | 12:55pm
CALON SPM, Izdihasr Irfan Sabaruddin (tengah) bersalam dengan Serina (kiri) sebelum memasuki dewan peperiksaan di SMK Seri Serdang. Turut bersama, ibunya Guru Cemerlang Sejarah sekolah berkenaan, Norafidah Daud (kanan). Foto: Rosela Ismail/ NSTP.
CALON mengaminkan bacaan doa sebelum memasuki dewan peperiksaan di SMK Seri Serdang. Foto: Rosela Ismail/ NSTP.
CALON mengaminkan bacaan doa sebelum memasuki dewan peperiksaan di SMK Seri Serdang. Foto: Rosela Ismail/ NSTP.
AHLI Kelab Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) mengedarkan sarapan kepada calon SPM sebelum memasuki dewan peperiksaan untuk menduduki SPM 2019 di SMK Seri Serdang. Foto: Rosela Ismail/ NSTP.

Program teknik menjawab bantu persediaan calon

SERDANG: Memanfaatkan pengalaman guru pakar dalam bidang masing-masing untuk berkongsi kaedah dan teknik menjawab soalan peperiksaan secara berkesan, antara pendekatan yang dilaksanakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Serdang untuk membantu pelajarnya menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengetuanya, Serina Jaafar, berkata bermula dari awal tahun, setiap guru panitia mata pelajaran akan menjemput guru dan penceramah berpengalaman dari luar untuk mendedahkan kepada pelajar kaedah berkesan menjawab soalan SPM mengikut kehendak semasa peperiksaan.

Katanya, semua pelajar didedahkan cara menjawab soalan berdasarkan kehendak peperiksaan, selain membuat latih tubi soalan berteraskan kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

“Kita mahu membiasakan pelajar dengan cara menjawab soalan yang tepat dan berkesan supaya mereka dapat skor markah diperuntukkan bagi setiap soalan sekali gus tidak tersasar sertrta membuang masa terlalu lama untuk menjawab soalan mudah.

“Dengan cara ini diharapkan pelajar dapat mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan sebenar bermula dari awal tahun hingga ke peperiksaan sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui BH pada hari pertama SPM 2019 bagi mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu Kertas 1 yang bermula serentak di seluruh negara hari ini.

Seramai 322 calon termasuk calon berkeperluan khas SMK Seri Serdang menduduki SPM tahun ini.

Terdahulu, seawal jam 7 pagi calon SPM sekolah itu dilihat melakukan ulang kaji akhir sebelum mengikuti program taklimat dan motivasi yang dikendalikan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Semua calon SPM sekolah berkenaan turut dibekalkan dengan sarapan percuma sebelum masing-masing berarak masuk ke dewan peperiksaan.

Serina berkata, selain program teknik menjawab soalan, pihak sekolah turut menjalankan program kelas kepong untuk semua pelajar Tingkatan Lima selama satu jam pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula dari awal tahun.

Katanya, semua program pembelajaran secara berkesan itu dilakukan bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik sekali gus keputusan SPM di sekolah itu.

Berita Harian X