Sabtu, 2 November 2019 | 4:07pm
Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah pembukaan Konvokesyen ke 47 UKM. - Foto Saifulizan Tamadi

Percanggahan pendapat perlu dizahir secara tertib - Tuanku Muhriz

BANGI: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, bertitah universiti sering dirujuk sebagai tempat membahas perbezaan pandangan, namun kebebasan itu haruslah ditadbir secara berhemah.

Titah baginda, sebarang teguran atau percanggahan pendapat perlu disalurkan menerusi wahana yang tersedia dan dizahirkan secara tertib.

"Keluhuran akal budi dan nilai peradaban yang disemai di universiti, harus dibuktikan dengan tingkah laku yang melambangkan ketinggian ilmu, adab dan peribadi terdidik," titah baginda.

Baginda yang juga Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-47 di Kampus Induk UKM, di sini, hari ini.

Seramai 776 graduan terdiri daripada penerima Ijazah Kedoktoran, Doktor Pakar Perubatan/Sarjana Lanjutan dan Doktor Pakar Pergigian diraikan pada sidang pertama itu.

Yang turut hadir, Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tunku Besar Mahmud; Tunku Pro Canselor, Datuk Seri Diraja Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah; Pro Canselor UKM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Naib Canselor UKM, Prof Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor.


Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menyampaikan Anugerah Diraja kepada Farahana Mohamed pada Konvokesyen ke 47 UKM. - Foto Saifulizan Tamadi

Tuanku Muhriz seterusnya menitahkan agar semua warga akademik terus berpegang kepada prinsip akademik yang luhur agar khazanah ilmu negara terus diperkukuh dan bermanfaat dalam pembentukan tamadun kehidupan sejagat.

Titah baginda, universiti adalah ruang terbuka untuk perkembangan pelbagai keilmuan namun kejujuran serta kebebasan akademik perlu berpaksikan kebenaran, kesarjanaan dan integriti tinggi yang akhirnya menentukan kesejahteraan masyarakat keseluruhan.

"Sejak 50 tahun lalu, rakyat Malaysia menjalani kehidupan dengan berpaksikan Rukun Negara.

“Prinsip yang terkandung menjadikan rakyat negara ini hidup dengan penuh damai dan harmoni," titah baginda.

Tuanku Muhriz turut berkenan menyampaikan anugerah khas Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Tuan Yang Terutama, Ban Ki-Moon dan Profesor Michael Lavelle-Jones.


Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir beramah mesra dengan penerima Anugerah Diraja kepada Farahana Mohamed dan Nalina Santhiran diirngi Naib Canselor UKM Prof Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor (tengah) pada Konvokesyen ke 47 UKM. - Foto Saifulizan Tamadi

Sempena konvokesyen empat hari itu, empat graduan terpilih menerima anugerah berprestij dengan Anugerah Pelajaran Diraja dianugerahkan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan dengan Kepujian Cemerlang, Farahana Mohamed dan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dengan kepujian cemerlang, S Nalina.

Sementara graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dengan kepujian cemerlang dalam bidang Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Muhammad Alif Fitri Abdul Halim menerima Anugerah Naib Canselor.

Anugerah Tun Razak pula diterima graduan Ijazah Doktor Pergigian, Joshua Peh Jian Ren.

Berita Harian X