Rabu, 30 Oktober 2019 | 8:51pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik berucap pada mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 2019, di Putrajaya, hari ini. Turut hadir, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Kesatuan pelajar medan mahasiswa raih kemahiran

PUTRAJAYA: Kesatuan pelajar akan dihidupkan kembali di universiti awam (UA) tahun hadapan bagi menjadi medan golongan siswa melatih diri dan meraih pelbagai kemahiran, sebelum memasuki alam pekerjaan, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, kesatuan pelajar akan mengelola perniagaan mereka sendiri di dalam universiti, sekaligus menyediakan peluang pekerjaan sambilan kepada pelajar yang memerlukan.

“Terus-terang saya katakan, saya kesal apabila dalam banyak sesi dialog saya dan pelajar, yang berulang kali diminta kepada saya ialah bantuan berupa wang.

“Saya memahami gelutan yang dihadapi dan kita di kerajaan sedang melihat isu ini secara serius. Sebab itulah, kita tubuhkan kembali kesatuan pelajar,” katanya semasa berucap pada mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 2019, di sini hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Maszlee juga yakin kembalinya kesatuan pelajar di UA akan membawa industri lebih dekat dengan universiti.

Pada mesyuarat itu, Maszlee turut menyeru mahasiswa memanfaatkan MPPK itu sebaik-baiknya dan mewacanakannya secara kritikal dan serius.

“Atmosfera pendidikan tinggi harus kembali bercorakkan dengan keeratan hubungannya dengan masyarakat dengan suara mahasiswa ialah suara masyarakat yang mengutarakan soal kemiskinan bandar, luar bandar, kos sara hidup yang tinggi, nelayan, pekebun kecil dan ekonomi,” katanya.

MPPK ialah medium pemimpin mahasiswa institusi pendidikan tinggi (IPT) daripada universiti awam, IPT swasta, politeknik, kolej komuniti dan institut pendidikan guru menyuarakan idea dan pandangan mahasiswa kepada kepemimpinan tertinggi kerajaan.

MPPK kali ini membincangkan lima kertas pertimbangan iaitu Stigma Terhadap Kesihatan Mental; Kebolehpasaran Graduan dalam Era Revolusi Perindustrian 4.0; Transformasi Tanah Pertanian dalam Sektor Agromakanan; Melestarikan Persekitaran; dan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan Malaysia: Memartabatkan Kualiti Pendidikan Negara.

Pada MPPK itu, Maszlee turut memaklumkan kementeriannya melalui Jabatan Pengajian Tinggi akan mengerakkan usaha untuk jalinan kerjasama dengan universiti terkemuka dunia (Top 50) untuk menjadi rakan strategik UA. – BERNAMA

Berita Harian X