Selasa, 1 Oktober 2019 | 12:24pm
Sebahagian 239 calon pelajar SMK Panglima Perang, Kuantan, Pahang, yang menduduki ujian bertulis PT3 yang bermula hari ini. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Calon mengaminkan bacaan doa sebelum peperiksaan PT3 di SMK TTDI Jaya, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
Calon PT3 SMK Bukit Besar, Kuala Terengganu bersalaman dengan Pengetua, Azman Abdul Majid sebelum memasuki dewan peperiksaan. - NSTP/Rozainah Zakaria

Sisipan Minda bantu persediaan calon PT3

SHAH ALAM: “Kandungan menepati kurikulum terkini peperiksaan dan penerangan mudah dipaparkan sisipan Minda sangat membantu pelajar saya menguasai mata pelajaran, terutama membabitkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT),” kata Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong, Badariatul Jamal Mohd Hasnan.

Beliau berkata, panduan bermanfaat dan pemberitaan topik semasa yang diketengahkan sisipan itu menarik minat pelajar untuk menjadikannya sebagai bahan pembacaan serta ulang kaji.

Katanya, keberkesanan BH Minda mendorong sekolahnya melanggan dan mempraktikkan penggunaannya setiap tahun kepada semua calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

“Guru di sekolah ini menggunakan sisipan berkenaan pada setiap hari terbitannya, iaitu Selasa ketika mengajar kelas Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga.

“Sisipan ini diedarkan kepada pelajar sejak awal Tingkatan Satu sebagai bahan latihan untuk semua mata pelajaran bagi membiasakan mereka dengan bentuk soalan dan panduan peperiksaan PT3,” katanya kepada BH.

Badariatul berkata, penggunaan sisipan itu turut membantu memudahkan guru memberi bimbingan berkesan, selain meringankan bebanan mereka mencari bahan pengajaran berkualiti.

Sementara itu, Penolong Kanan Kokurikulum SMK TTDI Jaya, di sini, Azura Abu Bakar, berkata penggunaan akhbar khususnya BH banyak membantu guru melaksanakan proses pengajaran dan menjadikan suasana di bilik darjah aktif serta menarik.

Penolong Kanan Kokurikulum SMK TTDI Jaya, Azura Abu Bakar. - NSTP/Faiz Anuar

Beliau berkata, pendekatan itu menjadi lebih kreatif dan tepat untuk digunakan dalam Pembelajaran Abad Ke-21 (PA21) bagi meningkatkan pengetahuan murid, sekali gus melahirkan generasi yang cemerlang.

“Pihak sekolah tidak menjadikan buku teks sebagai bahan rujukan semata-mata, sebaliknya menggunakan akhbar dalam pembelajaran mengikut situasi.

“Bagi melahirkan generasi holistik, guru perlu sentiasa mengambil insiatif berbeza dan kreatif dalam aspek pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di dalam bilik darjah, seterusnya dapat merangsang minat pelajar untuk memberi tumpuan kepada pelajaran,” katanya ketika ditemui BH, hari ini.

Beliau menyifatkan perkara itu banyak membantu 306 pelajarnya yang mengambil PT3 yang bermula hari ini untuk menjawab soalan dengan pelbagai teknik yang mudah.

“Konsep ini bukan sahaja dapat menanam minat membaca dalam kalangan pelajar, tetapi mendedahkan mereka dengan isu semasa yang berhubung kait dalam peperiksaan khususnya soalan esei,” katanya.

Hari ini, calon PT3 seluruh negara mula menduduki kertas Bahasa Inggeris selepas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan kertas Bahasa Melayu yang dijadualkan semalam ke 9 Oktober bagi menghormati kemangkatan Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

Kertas Bahasa Melayu Komunikasi dan English for Communication Pendidikan Asas Vokasional (PAV) pula ditangguhkan ke Khamis ini.

Format baharu PT3 mulai tahun ini memperkenalkan semula soalan objektif bagi semua mata pelajaran membabitkan objektif aneka pilihan (OAP) dan juga objektif pelbagai bentuk (OPB).

Berita Harian X