Isnin, 30 September 2019 | 1:42pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad (empat dari kiri); Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Wan Yusof Wan Ngah (tiga dari kiri); Pengerusi Persatuan Alumni Ilmu Khas, Datuk Siti Salmah Mat Jusak (lima dari kanan) dan Penasihat Persatuan Ilmu Khas, Datuk Seri SK Devamany (dua dari kiri) pada majlis makan malam dan persembahan muzikal sempena sambutan 60 tahun Ilmu Khas di IPG Kampus Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur. - Foto ihsan Ilmu Khas

Contohi khidmat bakti alumni universiti ternama dunia

KUALA LUMPUR: Alumni Ilmu Khas perlu mencontohi dan meneladani pengalaman institusi pengajian tinggi ternama dunia seperti Harvard University, Yale University dan Cambridge University dalam menggembleng tenaga alumni berbakti kepada alma mater mereka.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata setiap alumni perlu kembali memberikan sumbangan dan khidmat bakti kepada kampus yang berbudi kepada mereka sehingga berjaya dalam profesion masing-masing.

Beliau berkata, sudah pasti IPG Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) meletakkan harapan tinggi kepada alumninya untuk menabur bakti dalam meningkatkan daya saing dalam pelbagai lapangan secara berkesan.

PENGERUSI Alumni Ilmu Khas, Datuk Siti Salmah Mat Jusak. - Foto ihsan Ilmu Khas

“Saya pasti IPGKIK meletakkan harapan tinggi kepada alumninya untuk terus menabur bakti dan tentunya hubungan bersama `permata yang pernah digilap’ ini akan berterusan dan berpanjangan melangkau generasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam dan persembahan muzikal sempena sambutan 60 tahun Ilmu Khas di IPG Kampus Ilmu Khas, semalam.

Turut hadir, Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Wan Yusof Wan Ngah; Pengerusi Alumni Ilmu Khas, Datuk Siti Salmah Mat Jusak dan Penasihat persatuan itu, Datuk Seri SK Devamany.

Sementara itu, Wan Yusof berkata Persatuan Alumni Ilmu Khas yang didaftarkan pada Mac 2017 perlu menjadi perisai mempertahankan institusi itu sebagai sebuah IPG yang kekal relevan dan unggul di negara ini.

Sementara itu, Siti Salmah yang dipilih semula Pengerusi Persatuan Alumni Ilmu Khas dan menyandang jawatan itu sejak 2017 bertekad akan memastikan persatuan itu membantu penerapan nilai murni dalam jiwa pelajar supaya berjaya dalam akademik dan memiliki moral dan sikap terpuji.

Berita Harian X