Khamis, 12 September 2019 | 5:05pm
MASZLEE (tengah) bersama-sama bekas Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali (tiga dari kiri) melakukan gimik perasmian pada Wadah Perhimpunan Sekolah Alaf Baharu dan Pelancaran 60 tahun Kampus Ilmu Khas yang diadakan di Dewan Dato Razali Ismail, IPG Kampus Ilmu Khas, Cheras, Februari lalu. (Foto: Mohd Khairul Helmy Mohd Din)
Wan Yusof Wan Ngah.

500 alumni Ilmu Khas dijangka hadir ulang tahun ke-60

KUALA LUMPUR: Seramai 500 alumni Ilmu Khas dari seluruh negara dijangka menghadiri sambutan ulang tahun ke-60 Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, di sini pada 28 September ini.

Pengarah IPGKIK, Wan Yusof Wan Ngah, berkata program itu menjadi kemuncak kepada sambutan ulang tahun enam dekad institusi yang dirasmikan Menteri Pelajaran ketika itu, Abdul Rahman Talib pada 8 Jun 1960.

Katanya, pelancaran 60 Tahun Kampus Ilmu Khas disempurnakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di kampus IPG itu, Februari lalu serentak pelancaran Program Wadah Perhimpunan Sekolah Alaf Baharu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan 60 Tahun Ilmu Khas berkata, turut diadakan Karnival Sukan IPG Kampus Ilmu Khas (SiPIK) 2019, Julai lalu.

“Olahragawati Kebangsaan pada 1982, Datuk Zaiton Othman yang juga Alumni Ilmu Khas dipilih sebagai Ikon SiPIK 2019 sempena karnival sukan itu.

“Seterusnya Persatuan Alumni Ilmu Khas bakal menjayakan Persidangan Antarabangsa Pedagogi dan Pendidikan Inklusif 2019 pada 18 dan 19 September ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Yusof berkata, Persembahan Mini Orkestra Ilmu Khas sempena majlis Jamuan Makan Malam adalah acara ditunggu-tunggu pada malam kemuncak sambutan berkenaan.

Katanya, sempena majlis itu turut diadakan pemilihan tampuk kepemimpinan baharu Persatuan Alumni Ilmu Khas.

“Semua alumni Ilmu Khas diundang memeriahkan sambutan ulang tahun yang menghimpunkan alumni dari seluruh negara untuk bertemu dan mengimbas kembali saat suka dan duka mereka di kampus berbudi itu,” katanya.

IPGKIK atau nama asalnya Specialist Teachers Training Institute (STTI) beroperasi sejak 1959 menawarkan kursus Pendidikan Seni Halus dan Pertukangan serta memperluaskan kebitarannya dalam bidang Pendidikan Khas, Pendidikan Muzik serta Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

Bermula dengan ambilan seramai 40 orang guru pelatih dalam bidang Pendidikan Jasmani pada 1959, bilangan guru pelatihnya terus berkembang kepada 150 orang pada 1960 dengan kursus ditawarkan ialah Pendidikan Jasmani, Sains Rumah Tangga, Pendidikan Pandang Dengar, Seni Lukis, Pertukangan Logam dan Pertukangan Kayu serta Pendidikan untuk guru sekolah Cina.

STTI dijenamakan semula kepada Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) pada 1966 dan diberi kepercayaan untuk memulakan Kursus Sijil Perguruan Asas dan seterusnya mengendalikan Kursus Diploma Perguruan bagi menggantikan Kursus Sijil Perguruan Asas.

Pada 6 Mei 2006 MPIK dinaik taraf kepada Institut Perguruan Ilmu Khas (IPIK) dan bertukar sekali lagi sebagai IPGKIK pada 6 Mei 2006 berserta mandat penganugerahan program Ijazah Sarjana Muda Perguruan kepada graduannya.

Berkeluasan 161,874 meter persegi, IPGKIK kini teguh berdiri dan relevan dengan keperluan pendidikan semasa yang mengkhusus kepada bidang Pendidikan Khas seperti Masalah Penglihatan, Masalah Pendengaran dan Masalah Pembelajaran.

Berita Harian X