Khamis, 5 September 2019 | 5:49pm
PEMENANG pingat gangsa pada pertandingan World Skill Competition (WSC) Kazan 2019, Aiman Afiq Suradi menerima sijil penghargaan dari Undang Luak Johol, Datuk Mohammed Abdullah (dua kiri) di Balai Undang Luak Johol. - Foto Amran Yahya

Syarikat dron mahu majukan ciptaan pelajar

KUALA PILAH: Syarikat korporat berminat mengkomersialkan inovasi pelajar Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Ja’afar, Aiman Afiq Suradi yang berjaya mengharumkan negara dengan membawa pulang pingat gangsa pada WorldSkills Competition (WSC) Kazan 2019 di Russia, bulan lalu.

Kejayaan itu diraih menerusi pertandingan kemahiran peringkat junior Operasi Dron dan pasukan negara turut berjaya membawa pulang sembilan Medallion for Excellence.

Pengetua Sekolah Menengah (SM) Sains Tuanku Ja’afar, Adnan Harun, berkata beberapa pihak yang menunjukkan minat itu adalah dari industri pengeluar drone di Malaysia.

“Pihak berkenana menawarkan kerjasama dengan sekolah, manakala Aiman Afiq turut mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di universiti di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sijil penghargaan untuk sekolah daripada Undang Luak Johol, Datuk Mohammed Abdullah di Balai Undang Luak Johol, di sini, semalam.

Turut menerima sijil penghargaan ialah Aiman Afiq dan Jurulatih Operasi Dron WSC Kazan 2019, Ghazali Ya’id.

Sementara itu, Aiman Afiq berkata, dia berdepan insiden tidak diduga sebaik saja tiba di Russia kerana bagasi yang membawa peralatan untuk pertandingan tidak tiba pada waktu ditetapkan.

Katanya, semua peralatan terbabit seharusnya digunakan pada hari pertandingan yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Expo KAZAN pada 22 sehingga 27 Ogos lalu.

“Untuk meneruskan pertandingan, saya terpaksa meminjam peralatan dari kerajaan Russia, namun peralatan itu amat berbeza dengan apa yang saya sediakan, malah tidak lengkap dan sedikit sebanyak memberikan tekanan serta cabaran kepada saya.

“Saya yakin jika menggunakan peralatan sendiri pada pertandingan itu, mungkin ia mampu meningkatkan lagi markah saya dan setidak-tidaknya mampu memperolehi pingat perak,” katanya.

WSC ialah pertandingan bertaraf dunia yang disertai lebih 1,600 peserta yang terdiri daripada belia dan pelajar daripada 60 negara.

Berita Harian X