Selasa, 3 September 2019 | 12:56pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memakaikan jubah sebagai Canselor Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah pada Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Ke-18 KUIPSAS di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah. - Foto Shahrinnahar Latib

Tengku Hassanal dimasyhur Canselor KUIPSAS

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Canselor Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) pada Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Ke-18 KUIPSAS di sini, hari ini.

Baginda dimasyhurkan sebagai Canselor KUIPSAS kedua, menggantikan nenda baginda, Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

Istiadat pemasyhuran disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pro Canselor KUIPSAS.

Tengku Hassanal Ibrahim ketika bertitah melahirkan rasa terharu dengan kepercayaan diberikan bagi menggalas tanggung jawab besar dan berjanji akan meneruskan hasrat serta kepimpinan Almarhum Paduka Ayahanda yang ingin melihat KUIPSAS terus berkembang.

“Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama semua hadirin pada Majlis Konvokesyen KUIPSAS yang bersejarah ini dan saya difahamkan dalam usia 23 tahun, KUIPSAS berjaya melahirkan lebih 5,000 orang graduan.

Pada majlis itu, seramai 360 graduan menerima diploma dalam pelbagai bidang pengajian.

Baginda turut mengingatkan graduan supaya tidak cepat berpuas hati dan leka dengan kejayaan dicapai kerana perjalanan hidup masih jauh dan panjang.

“Graduan tidak harus merasa cukup dengan kejayaan diperoleh, namun perlu memastikan jati diri diperkukuh dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang relevan dengan tuntutan semasa seperti kemahiran berkomunikasi, kepimpinan tinggi dan bidang keusahawan.

“Selain itu, graduan juga perlu terus berbakti kepada KUIPSAS, termasuk membabitkan diri secara aktif sebagai alumni kolej universiti berkenaan,” titahnya.

Baginda turut berharap semua graduan memberi sumbanganbagi memajukan dan membantu KUIPSAS terus maju dan mampu melahirkan graduan berkualiti.

Berita Harian X