Rabu, 14 Ogos 2019 | 5:15pm
JASMINE Abdullah Heng bersama pelajar di bengkel UPSR.

Yayasan MRCB anjur bengkel bantu pelajar tidak mampu

KUALA LUMPUR: Yayasan MRCB membantu lebih 600 pelajar kurang bernasib baik menerusi penganjuran beberapa sesi bengkel persediaan bagi menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di tujuh sekolah angkat.

Tujuh sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar Perdana di Perak, SK Sekyen 7 Kota Damansara (Selangor), SK Pengkalan Jaya (Pulau Pinang) dan SK Kuala Perai (Pulau Pinang).

Sementara di bandar raya ini, ia membabitkan SK Seri Bonus, SK La Salle Brickfields dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Vivekananda.

Pengerusi Yayasan MRCB, Datin Jasmine Abdullah Heng, berkata setiap pelajar perlu diberi ruang dan peluang untuk berjaya kerana mereka adalah harapan serta masa depan negara.

“Kami di Yayasan MRCB dan barisan pemegang amanah sentiasa bekerja keras untuk mengenal pasti keperluan yang penting bagi mereka.

“Kami akan terus menjalankan aktiviti yang memberi nilai, manfaat dan bantuan sebaik mungkin untuk meningkatkan pencapaian pelajar, sekali gus memperbaiki kualiti kehidupan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Bengkel yang bermula sejak 2015 itu memberi fokus empat subjek utama seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Tenaga pengajarnya terdiri daripada mereka dalam kalangan guru cemerlang dan berpengalaman untuk membantu pelajar berkenaan mempelajari teknik menjawab, memahami soalan serta teknik pengurusan masa yang berkesan sebagai persediaan menghadapi UPSR.

Berdasarkan pencapaian lalu, peratusan kelulusan secara keseluruhan untuk semua subjek menunjukkan peningkatan lebih 70 peratus, sekali gus menyaksikan matlamat bengkel itu berjaya direalisasikan.

Selain itu, Yayasan MRCB merancang untuk mengadakan beberapa program lain, antaranya program makanan, kutipan amal, sumbangan seperti bahan bacaan dan kalkulator.

Golongan sasar yang akan terbabit adalah pelajar kurang berkemampuan, asnaf, Orang Asli dan orang kurang upaya (OKU).

169 dibaca
Berita Harian X