Jumaat, 9 Ogos 2019 | 4:34pm
Muhammad Azwar Mohd Ariff, 12, sering mendapat tunjuk ajar kedua ibu bapanya semasa menghafal al-Quran. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Johan Tilawah al-Quran terpaksa lupakan hasrat ambil UPSR

SIK: Johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2018, Muhammad Azwar Mohd Ariff, 12, terpaksa melupakan hasrat untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bulan depan kerana penglihatannya semakin kabur akibat ketumbuhan di kepala.

Perkara itu dimaklumkan oleh doktor kepada ibu bapa Azwar yang kini sedang menjalani rawatan susulan selepas rawatan kimoterapi dan radioterapi.

“Saya reda jika ini takdir Allah (Azwar tak dapat menduduki UPSR). Saya tak mahu beri tekanan dengan keadaan matanya yang semakin rabun,” kata ibu Azwar, Che Anisah Md Saad, 43.

Che Anisah dari di Pondok Tok Guru Haji Salleh, Sik, berkata dia dan suaminya, Mohd Ariff Ismail, 46, terpaksa membuat keputusan itu selepas doktor memaklumkan keadaan anaknya yang tidak mengizinkan.

“Matanya semakin rabun dan doktor mencadangkan kami membeli alat bantuan melihat bagi membolehkannya membaca buku sebagai persediaan mengulangkaji pelajaran.

Muhammad Azwar Mohd Ariff, 12, menunjukkan piala yang dimenangi dalam pertandingan tilawah al-Quran serta sukan sekolah. - Foto Noorazura Abdul Rahman

“Bagaimanapun, alat itu masih tidak dapat membantu Azwar untuk melihat sepenuhnya dan dia masih membaca merangkak-rangkak. Saya tidak sanggup melihat Azwar tertekan kerana pendaftarannya untuk menduduki ujian itu adalah sebagai calon normal,” katanya kepada BH.

Sebelum ini, BH melaporkan Azwar yang disahkan menghidap ketumbuhan di kepala yang menyekat pengaliran air ke tulang belakang dan doktor melakukan pembedahan menebuk bahagian itu bagi mengeluarkan air, tahun lalu.

Pada majlis Sambutan Maal Hijrah 2018, Azwar yang berkerusi roda, antara penerima anugerah yang disampaikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Che Anisah berkata mereka sekeluarga bersedia untuk menghadapi sebarang ketentuan, namun tidak pernah berdiam diri untuk berusaha merawat anaknya itu.

Ketika ini, Azwar turut melakukan rawatan alternatif sebagai usaha membantu memulihkannya serta menguatkan semangatnya.

“Jika anak saya tidak mampu memiliki ilmu akademik, sekurang-kurangnya saya harap dia istiqamah mengalunkan al-Quran. Sebagai ibu, saya masih berharap ia dapat membesar seperti kanak-kanak lain.

“Kadang-kala dia minta untuk bermain basikal di luar rumah tetapi penglihatannya sangat terhad... tidak sampai beberapa minit, dia akan masuk semula ke dalam rumah,” katanya.

GAMBAR fail, Penerima Anugerah Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kedah, Muhammad Azwar Mohd Ariff, 11, (duduk) menunjukkan sijil anugerah yang diterimanya kepada ayah, Mohd Ariff Ismail (kanan) dan ibu, Anisah Md Saad (dua dari kanan) serta ahli keluarganya pada Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah 1440/2018 Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Dewan Seri Negeri,Wisma Darul Aman, tahun lalu. - Foto Amran Hamid

Che Anisah yang juga guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), berkata beliau menggunakan hampir kesemua gajinya setiap bulan untuk merawat Azwar.

Suaminya yang bekerja sebagai pemandu van sekolah dan mengajar al-Quran pada sebelah malam, hanya mempunyai pendapatan bersih kira-kira RM400 sebulan.

“Semua ini ujian Allah untuk kami sekeluarga, hidup sekadar yang ada, mungkin kami ditakdirkan miskin di dunia tetapi akan sedaya upaya berusaha agar tidak miskin di akhirat,” katanya.

Mereka yang mahu membantu boleh menghubungi Mohd Ariff menerusi nombor telefon 017-5517084 atau menyumbang ke akaun Maybank atas nama Che Anisah (502045110883).

Berita Harian X