Rabu, 7 Ogos 2019 | 6:01pm
Guru Pembimbing Mohd Fakharudin Mahmod (kiri) bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART) Norsyara Syafiqah Saif Ridzuan Muralee (tengah),Nur Farhana Fazreen Anuaruddin (kiri) dan Aida Masyitah Azhari yang mendapat pingat emas pada Pertandingan Inovasi Sains dan Teknologi China (CASTIC) Ke-34 di Macau. - Foto Mohd Rafi Mamat

Inovasi sos labu bercili

TEMERLOH: Tiga pensyarah Kolej Komuniti Temerloh di sini, mengambil masa sebulan untuk menghasilkan sos labu bercili tanpa bahan pengawet, selain tidak mengandungi gula yang tinggi.

Norsaritanaini Mahasan, 39, memanfaatkan labu manis kuning yang banyak ditanam di negara ini bagi menghasilkan produk terbabit dengan menggunakan beberapa bahan utama lain.

“Sos ini tidak terlalu pedas manakala kandungan gulanya rendah berbanding sos lain yang di pasaran,” katanya ketika menyertai Innovative Creative Competition TVET 2019 (ICC TVET ‘19) peringkat negeri di Kolej Komuniti Temerloh, baru-baru ini.

Beliau berkata, rasa manis labu menjadikan produk itu berbeza daripada jenama lain, di samping memberi kebaikan kepada kesihatan pengguna.

Penyelidik Norsaritanaini Mahasan bersama produk Sos Labu Bercili yang dihasilkan ketika menyertai Innovative Creative Competition TVET 2019 (ICC TVET '19) peringkat negeri di Kolej Komuniti Temerloh. - Foto Mohd Rafi Mamat

Katanya, idea menghasilkan sos labu bercili dibuat bersama Nor Aishah Othman, 35 dan Mohd Zool Fazlee Basir, 34, yang ingin melihat kelainan selepas penggunaan belimbing buluh, betik dan beberapa buah tempatan yang dijadikan campuran menghasilkan sos.

“Pengguna yang mencuba sos ini berpendapat rasanya lebih enak dan memenuhi cita rasa pengguna kerana tidak terlalu pedas,” katanya.

Norsaritanaini berkata, labu mengandungi vitamin A yang tinggi dan dapat membantu mengurangkan risiko kanser serta penyakit jantung.

Beliau turut mempelawa pihak berminat untuk mengkomersialkan sos labu bercili kerana produk itu mampu dipasarkan.

Berita Harian X