Rabu, 7 Ogos 2019 | 2:22pm
SEKOLAH Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kemaman, di Terengganu muncul juara Pertandingan Sentuhan Harapan-All About Youth 2019 anjuran Yayasan Petronas malam tadi. - Foto BERNAMA

SM Imtiaz Kemaman juara All About Youth 2019

KUALA TERENGGANU: Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu, Kemaman menjuarai pertandingan Sentuhan Harapan - All About Youth (AAY 2019) anjuran Yayasan PETRONAS yang berlangsung di Ayer Keroh, Melaka semalam.

Selepas 11 minggu bertungkus lumus menyempurnakan projek inovatif pemuliharaan alam sekitar menerusi projek CO2NCER iaitu sistem pengesan dan amaran kebakaran hutan membolehkan sekolah terbabit mengalahkan 50 sekolah lain untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.

Ketua Projek, Nur Farah Ismahani, berkata usaha dan kerja keras sepanjang 11 minggu nyata berbaloi apabila diangkat sebagai juara.

“Kami berasa teruja dan bersyukur kerana usaha serta kerja keras kami membuahkan hasil.

“Kami berterima kasih kepada rakan sukarelawan PETRONAS yang memberi bimbingan dan sokongan.

“Usaha kami tidak berakhir di sini dan berharap dapat mempertingkatkan lagi ‘CO2NCER’ bagi menjuarai Chairman’s Circle,” katanya.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon, Sabah dan membawa pulang RM 10,000 manakala SMK Tun Habab, Johor pula diangkat sebagai pemenang tempat ketiga untuk menerima hadiah RM 5,000.

SMK St Francis, Melaka dan SMK Asyakirin, Sarawak pula menerima hadiah saguhati.

Selepas pusingan akhir peringkat kebangsaan AAY 2019 ini, lima pasukan ini akan dipilih sekali lagi untuk bertanding di peringkat Chairman’s Circle pada bulan Disember tahun ini untuk merebut hadiah berjumlah RM30,000.

Pemilihan akan dibuat berdasarkan projek yang berdaya maju dan berpotensi untuk dikomersilkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Lita Osman, berkata AAY menawarkan peluang kepada pelajar memperlihatkan bukan hanya satu idea, tetapi pelbagai cara membantu menyelesaikan masalah perubahan iklim.

“Menerusi AAY, pelajar menjalankan uji kaji, merekacipta dan bekerjasama mencari penyelesaian. Panel hakim kagum dengan keupayaan pelajar mengguna pakai sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) untuk solusi jaminan masa depan yang lebih baik.

“Semua pasukan menzahirkan idea mereka ke arah penyelesaian praktikal demi kesejahteraan masyarakat. Saya berharap mereka akan terus mengasah projek masing-masing agar boleh dilancarkan ke seluruh negara,” katanya.

374 dibaca
Berita Harian X