Isnin, 5 Ogos 2019 | 4:21pm
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock (kanan). - NSTP/Halim Salleh

Tulisan jawi tidak wajar dijadikan isu - NUTP

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) Tahun 4 pada tahun depan tidak wajar dijadikan isu kerana itu bertujuan menerapkan nilai warisan bahasa Melayu dan identiti negara.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock, berkata untuk makluman murid sudah mengenali seni tulisan jawi, seni tulisan Cina dan seni tulisan Tamil dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang dilaksanakan sejak 2011 kepada murid Tahun Satu.

Beliau berkata, pada 2015 seni tulisan itu ada dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun 5 untuk sekolah jenis kebangsaan (SJK) di bawah tema ‘Menghargai Budaya Bangsa’.

“Tahun ini ialah semakan KSSR Tahun 4. Biarlah golongan profesional melakukan perbincangan dan mencari jalan supaya pembelajaran seni khat ini tidak membebankan murid kita, di samping memupuk gaya penulisan yang indah menjelang 2020,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengumumkan pengenalan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah termasuk SJK Cina dan SJK Tamil.

Keputusan itu turut membabitkan pengenalan seni khat ke dalam buku teks murid Tahun 4 tahun hadapan.

Jumaat lalu, Kementerian Pendidikan menegaskan akan meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran BM Tahun 4 pada tahun depan.

Pelaksanaan itu akan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan murid dan guru kerana perancangan untuk memperkenalkan tulisan jawi dalam kurikulum sekolah sudah bermula sejak 2014.

Berita Harian X