Ahad, 4 Ogos 2019 | 10:54am
Nor Syaqira Raai (dua dari kanan) bersama ibu, Nor Aini Abdul Rahman (kanan) serta adik beradiknya pada Majlis Konvokesyen MSU Ke 25 di MSU, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Terkilan ayah tidak hadir konvokesyen

SHAH ALAM: Walaupun sedikit terkilan kerana arwah bapanya tidak sempat menghadiri majlis konvokesyennya, jasa serta pengorbanan sentiasa menjadi ingatan serta panduan untuk graduan cemerlang Management and Science University (MSU), Nor Syaqira Raai, 23.

Nor Syaqira berkata, bapanya, Raai Hassan, 55, yang meninggal dunia April lalu akibat sakit jantung sentiasa menyokongnya sepanjang tempoh pengajian di MSU.

“Saya menamatkan latihan industri di AIA Berhad pada Januari dan pada Februari, saya diserap masuk sebagai kakitangan tetap di syarikat itu.

“Ayah begitu gembira apabila saya menerima tawaran sebagai kakitangan tetap kerana menurutnya syarikat berkenaan adalah syarikat yang bagus dan dia amat berbangga apabila menceritakan kepada kawan-kawannya.

“Terima kasih ayah kerana sentiasa menyokong kak yong dari kecil hingga kini dan berjaya menggenggam segulung ijazah yang ayah amat banggakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen MSU ke-25, semalam.

Graduan Sarjana Muda Undang-Undang dan Perdagangan itu menjelaskan, walaupun bapanya hanya seorang pemandu teksi dan tidak dapat memberikan kemewahan kepadanya dan adik-adik, beliau bersyukur kerana bapanya seorang yang sangat penyayang, malah dua adiknya kini turut melanjutkan pengajian di MSU.

Katanya, sepanjang tempoh pengajian, bapanya setia menghantar dan mengambilnya dari kampus untuk pulang ke rumah di Petaling Jaya setiap hujung minggu.

“Alhamdulillah, saya mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk yuran pengajian serta sedikit wang perbelanjaan harian. Justeru, ayah dan emak tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak sepanjang tempoh pengajian,” katanya.

Nor Syaqira juga adalah penerima Anugerah Akademik apabila muncul pelajar terbaik dalam kursusnya dengan memperoleh Purata Gred Semesta (GPA), 3.83.

Sementara itu, seramai 1,919 graduan MSU menerima ijazah dan diploma masing-masing sempena majlis konvokesyen yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Turut berangkat Canselor MSU yang juga Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Yang turut hadir, Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin; Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Naib Canselor MSU, Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.

Secara keseluruhan, seramai 111 graduan menerima ijazah Pasca Siswazah; 1,023 penerima ijazah Sarjana Muda dan seramai 785 penerima diploma.

Turut diraikan, graduan sulung bagi enam program pengajian iaitu Master of Science in Engineering, Master in Information Technology, Bachelor in Patisserie Arts (Hons), Diploma in Logistics Management, Diploma in Radiotherapy dan Diploma in Hair Dressing.

Berita Harian X