Sabtu, 13 Julai 2019 | 2:02pm
Pengarah Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF), Prof Datuk Dr Morshidi Sirat. - NSTP/Adzlan Sidek

Malaysia berkemampuan tawar pengajian pasca siswazah bagi negara Komanwel

KUALA LUMPUR: Malaysia dilihat boleh memainkan peranan secara strategik dalam mendidik bakat akademik, khususnya dalam pengajian pasca siswazah bagi negara Komanwel.

Ia berikutan negara ini dilihat mempunyai kelebihan dalam pendidikan berkenaan, termasuk dalam aspek proses dan kualiti penyeliaan tesis.

Pengarah Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF), Prof Datuk Dr Morshidi Sirat, berkata dalam kalangan negara Komanwel yang sedang membangun, pengajian pasca siswazah di Malaysia dilihat sebagai suatu jenama yang boleh dipercayai dan kehadapan, malah ia dibuktikan melalui jumlah kemasukan pelajar dari sana ke negara ini.

Beliau berkata, bagaimanapun disebabkan kajian yang terhad berkaitan program pasca siswazah khususnya dalam aspek penyeliaan, Malaysia kekurangan bukti berhubung aspek kualiti dan proses pendidikan pasca siswazah yang boleh dibanggakan.

Sehubungan itu, katanya, isu terbabit akan dibincangkan melalui Forum Pasca Siswazah Komanwel yang bakal dianjurkan CTEF dengan Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT), Selasa ini di Bangi.

“Kajian CTEF sebelum ini membuktikan terdapat beberapa kekurangan dalam proses pendidikan siswazah di beberapa negara Komanwel di Afrika kecuali Afrika Selatan, malah secara perbandingan dengan negara tersebut, Malaysia mempunyai kelebihan dalam aspek berkenaan.

“Namun, beberapa persoalan pokok seperti apakah aspirasi individu dan akademik pelajar antarabangsa di Malaysia tercapai, dan bagaimana pendidikan pasca siswazah di Malaysia menyediakan bakal graduan berkualiti apabila tamat pendidikan dan latihan di universiti tempatan, masih belum dijelaskan, termasuk isu etika dalam penerbitan ahli akademik.

“Justeru, melalui penganjuran forum itu nanti, ia mengupas persoalan berkaitan peranan Malaysia dalam menawarkan pendidikan dan latihan pada peringkat pasca siswazah kepada pelajar dari negara Komanwel,” katanya melalui kenyataan media, di sini.

Pada masa sama, Dr Morshidi berkata, forum itu juga mengupas beberapa isu berdasarkan kajian dan pengalaman pelajar yang sedang menjalani program pasca siswazah di negara ini.

Beliau berkata, antara perkara yang dikupas ialah pengalaman pelajar pasca siswazah di universiti tempatan, khususnya dalam aspek pembelajaran dan penyeliaan termasuk pengalaman dari sudut hubungan dengan penyelia, birokrasi universiti serta kehidupan mereka sebagai pelajar antarabangsa di sini.

“Proses berkaitan peralihan dari seorang pelajar doktor falsafah kepada ahli akademik muda turut dibincangkan, termasuk apakah jangkaan untuk menjadi ahli akademik serta bagaimana meningkatkan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh profesion akademik.

“Forum ini dijangka dapat merumuskan beberapa cadangan dari sudut dasar dan amalan pendidikan pasca siswazah untuk diketengahkan kepada pihak berkepentingan, ” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PenDaPaT, Prof Datuk Dr Norzaini Azman, berkata peserta forum juga akan membincangkan ciri ahli akademik profesional dan cemerlang serta budaya akademik tulen yang memberi penekanan kepada aspek etos, etika, kesarjanaan, kesepakaran serta keserakanan.

“Forum ini secara tuntasnya memberi tumpuan kepada proses peralihan dari seorang graduan doktor falsafah ke profesion akademik dengan menekankan aspek mentoran untuk mengasah bakat dan menanam ciri akademik profesional,” katanya.

Berita Harian X