Khamis, 4 Julai 2019 | 12:59pm
Naib Canselor UMP, Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff.

Plagiat cemar kesucian bidang pendidikan

KUANTAN: Tindakan ahli akademik dan pelajar yang mengamalkan aktiviti plagiat mencemar kesucian bidang pendidikan serta memberi impak terhadap usaha membangunkan modal insan di negara ini.

Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff, berkata jika gejala plagiarisme tidak dibendung, akan memberi kesan terhadap kualiti graduan dihasilkan, sekali gus menjejaskan perkembangan ilmu baharu.

“Perbuatan sama ada memalsukan hasil kajian atau dokumen, menyalahgunakan dana penyelidikan dan memplagiat hasil kerja orang lain tanpa keizinan adalah satu jenayah akademik.

“Ia bukan saja menjejaskan profesionalisme mereka yang melakukannya, lebih buruk lagi boleh mencetuskan konflik jangka panjang yang mungkin menjejaskan kualiti ahli akademik atau bakal cendekiawan dihasilkan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya terdapat aduan daripada mana-mana pihak mengenai salah laku dalam penyelidikan seperti plagiat, UMP akan mengambil tindakan tatatertib mengikut peraturan dan akta sedia ada.

“UMP tidak akan berkompromi dengan tindakan salah laku dan sekiranya didapati bersalah tindakan tegas akan diambil mengikut Kaedah 6 : Larangan terhadap Plagiarism Kaedah-kaedah Universiti Malaysia Pahang (Tatatertib Pelajar Pelajar) 2009 dan Akta 605 (Akta Badan Berkanun) Tatatertib dan Surcaj 2000 Peraturan 3 (2) (a), (f), (g),” katanya.

Beliau berkata, penyelidik yang beretika perlu memastikan penyelidikan yang asli dan berkualiti dapat dihasilkan.

“Sebagai ahli akademik, penyelidik atau pensyarah mestilah mempunyai kesedaran etika dan integriti yang tinggi,” katanya.

Berita Harian X