Khamis, 20 Jun 2019 | 10:48am

UMP tersenarai antara universiti terbaik dunia

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) mencatat sejarah apabila tersenarai antara universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings (WUR) 2020 diterbitkan QS Quacquarelli Symonds (QS) baru-baru ini.

UMP turut merekodkan pencapaian terbaik sebagai universiti teknologi lima bintang apabila berada dalam kelompok 751-800 terbaik dunia.

Bagi penarafan indikasi pengantarabangsaan fakulti pula menunjukkan UMP berada di kedudukan 360 terbaik dunia, manakala prestasi baik dalam indikasi reputasi menunjukkan UMP berada di kedudukan 501 terbaik dunia.

Naib Canselor UMP, Prof Dr Wan Azhar Wan Yusoff, berkata pencapaian ini menyerlahkan kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran di UMP yang sentiasa memberi fokus kepada pelbagai aspek teknikal dan teknologi.

“Pencapaian ini adalah petunjuk yang baik bahawa pendekatan pengajaran dan penyelidikan di universiti ini diiktiraf dalam melahirkan graduan kompeten serta menepati kehendak industri selain mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dengan penanda aras ini membolehkan UMP mengkaji dan memperbaiki pencapaian universiti daripada pelbagai perspektif.

“UMP akan terus bergerak maju sebagai pemain global bagi mencapai misi dan visi yang ditetapkan serta berada pada landasan terbaik sebagai universiti teknikal, terutama dalam memperkasa latihan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini.

“Kita juga akan terus meningkatkan prestasi dan amalan terbaik bagi memperkasa bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan bertaraf dunia dalam ekosistem kejuruteraan dan teknologi dengan lebih kreatif juga inovatif yang dapat memanfaatkan masyarakat di negara ini,” katanya.

Sebelum ini UMP pernah mencapai kedudukan 188 terbaik di Asia dalam QS University Ranking Asia: 2019.

Berita Harian X