Jumaat, 24 Mei 2019 | 6:42pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - NSTP/Danial Saad

Tiada perbincangan hapus sekolah vernakular - TPM

BUKIT MERTAJAM: Tiada perbincangan pada peringkat Kerajaan Pusat berhubung cadangan menghapuskan sekolah vernakular, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata cadangan terbabit yang pernah dibangkitkan ramai pihak sebelum ini, tidak pernah diusulkan dalam mesyuarat mingguan Kabinet.

“Saya pernah dengar lama dah mengenai isu ini, namun kita di pihak kerajaan belum lagi bincangkan ia secara terperinci.

“Malah, sewaktu kunjungan saya ke Eropah sebelum ini, mereka di sana boleh bercakap sehingga lima bahasa. Jadi, apa salahnya kita belajar bahasa Tamil dan Mandarin,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas desakan daripada gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi satu memorandum, yang mencadangkan kepada kerajaan supaya menghapuskan sekolah vernakular di negara ini.

Memorandum itu diserahkan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, di pejabatnya di Putrajaya, kelmarin.

Memorandum itu adalah susulan daripada kenyataan Maszlee mengenai kuota matrikulasi dan keperluan fasih berbahasa Mandarin bagi mendapat pekerjaan, baru-baru ini.

Sementara itu, Dr Wan Azizah menyambut baik kritikan yang dilemparkan Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin, terhadap barisan kepemimpinan kerajaan.

“Saya menyambut baik kritikan itu dan kita akan cuba baiki sebaiknya,” katanya ringkas.

Kelmarin, Kadir dalam penulisan di blognya, berkata mana-mana Menteri, Menteri Besar dan EXCO yang kurang menyerlah wajar meletak jawatan secara sukarela.

Kadir berkata, selepas setahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, kesemua yang dilantik dan memikul tanggungjawab sudah sewajarnya menilai semula kedudukan mereka.

Berita Harian X