Rabu, 22 Mei 2019 | 4:26pm
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Isu kuota matrikulasi: Kementerian Pendidikan pertahankan tindakan Maszlee

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan mempertahankan dan melaksanakan dasar Kabinet berhubung kuota kemasukan pelajar ke matrikulasi dengan 90 peratus untuk pelajar Bumiputera, manakala 10 peratus kepada bukan Bumiputera.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata warga pendidik di kementerian bertanggungjawab memastikan dasar yang diputuskan oleh kerajaan itu dilaksanakan sepenuhnya dan sebaik-baiknya demi kepentingan rakyat.

Katanya, kementerian percaya sebagai Menteri Pendidikan, sudah tentu Dr Maszlee Malik wajar dan berhak mempertahankan keputusan Kabinet itu.

“Perdebatan dan pertikaian yang berterusan membabitkan pelbagai pihak selepas saja keputusan Kabinet dibuat berkaitan kuota 90:10 kemasukan pelajar ke matrikulasi, sehingga melampaui batas adab dan kesopanan adalah tidak sesuai dalam dunia pendidikan.

“Keadaan ini boleh menjejaskan tumpuan warga pendidik sebagai penjawat awam untuk melaksanakan tugas mereka dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, beberapa pemimpin MCA, GERAKAN dan DAP menuntut Maszlee memohon maaf dan menarik balik kenyataan serta membidas beliau kerana mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan bahasa Mandarin sebagai syarat mendapat pekerjaan.

Minggu lalu, portal berita melaporkan Maszlee sebagai berkata, pihak yang menuntut kelonggaran bagi kuota kaum matrikulasi juga perlu membangkitkan isu kelayakan mendapat pekerjaan yang tidak adil dan didominasi kumpulan tertentu.

Pada 24 April lalu, Kabinet bersetuju sebulat suara mengekalkan kuota kemasukan dengan 90 peratus untuk pelajar Bumiputera, manakala 10 peratus kepada bukan Bumiputera.

Dengan keputusan itu, jumlah pengambilan pelajar untuk memasuki Program Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan pada tahun ini ditingkatkan kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 pada tahun lalu.

Susulan keputusan itu, jumlah pelajar Bumiputera yang berpeluang memasuki matrikulasi pada tahun ini, meningkat daripada 22,500 kepada 36,000 orang, manakala jumlah pelajar bukan Bumiputera meningkat daripada 2,500 kepada 4,000.

998 dibaca
Berita Harian X