Ahad, 19 Mei 2019 | 7:00pm
LIMA pelajar SKMPA mengharumkan nama negara apabila menang empat anugerah utama dalam ‘European Exhibition of Creativity and Innovation’ (EUROINVENT 2019) di Romania. - Foto ihsan Sekolah Menengah Kebangsaan Panji Alam

5 pelajar SMKPA harumkan nama negara di Romania

KUALA TERENGGANU: Sekolah Menengah Kebangsaan Panji Alam (SMKPA), di sini mengharumkan nama negara apabila menang empat anugerah utama dalam ‘European Exhibition of Creativity and Innovation’ (EUROINVENT 2019) di Romania.

Empat anugerah dimenangi pasukan SMKPA pada pameran pada 16 hingga 18 Mei di Palace Culture, Iasi, itu adalah ‘Gold Medal Award Euroinvent’, ‘Special Award Corneliu Group Romania’, ‘Special Honour of Toronto Invention Society Canada’ dan ‘Special Prize Award Euroinvent’.

Lima pelajar mewakili pasukan SMKPA itu ialah Rushdina Sofea Rushdan, Siti Nabila Syahirah Roslan, Nur Salsabila Abdul Rahman, Muhammad Ajwad Mohd Zamri dan Abi Aamar Arshad, menang anugerah itu melalui ciptaan Novel Paddy Straw Clay (PADS-CLAY), iaitu penapis air diperbuat daripada jerami padi.

Mereka diiringi, Che Engku Noor Aien Che Engku Mahmood bertindak sebagai ketua kontinjen dan dua guru pengiring, Wan Salasiah Wan Sulaiman dan Mohd Noor Shamsulainee Othman.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin, berkata kejayaan diraih lima pelajar yang mewakili SMKPA itu mengharumkan nama Terengganu dan negara.

“SMKPA adalah sekolah harian biasa di pinggir bandar Kuala Terengganu, bertukar menjadi sekolah yang membanggakan apabila mengalahkan 600 pasukan yang bertanding membabitkan 100 negara.

“Malah pasukan ini sanggup berkorban menyertai pertandingan pada bulan Ramadan walaupun terpaksa menghadapi masalah makanan halal, tetapi demi memartabatkan pendidikan negara, mereka sanggup melakukan apa saja,” katanya.

Sementara itu, kejayaan pasukan SMKPA turut mendapat perhatian Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang mengucapkan tahniah kepada pelajar dan sekolah.

“Tahniah kepada sekumpulan anak-anak pelajar SMK Panji Alam atas kejayaan memenangi pelbagai anugerah di 11th Euroinvent 2019 di Romania.

“Imaginasi pencetus kreativiti dan inovasi. Semoga menjadi inspirasi kepada pelajar lain. Mereka ‘future inventor’ (pencipta masa depan) negeri Terengganu,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

792 dibaca
Berita Harian X