Khamis, 16 Mei 2019 | 4:11pm
PROF DATUK Ir Dr Wahid Omar.

Cabaran warga pendidik bangunkan modal insan

JOHOR BAHRU: Tema Sambutan Hari Guru 2019 iaitu Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi bertepatan dengan cabaran besar digalas warga pendidik di negara ini terutama bagi melahirkan insan kamil yang lengkap dengan ilmu pengetahuan tinggi.

Di samping dilengkapi dengan pelbagai kemahiran, sikap, jati diri dan keupayaan tinggi merangkumi aspek, jasmani, emosi, rohani, serta intelek amat diperlukan dalam diri seorang pendidik.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar, berkata guru dan pensyarah mempunyai tugas berat bagi melahirkan pelajar yang mampu membangunkan negara tanpa sekali-kali mengabaikan denyut nadi bangsa atas dasar kemanusiaan.

Katanya, UTM juga mendukung aspirasi guru sebagai pemangkin utama dalam misi penyempurnaan akhlak dan teras penting khususnya untuk membentuk insan yang memiliki sifat berkasih sayang, saling menghormati serta membahagiakan.

“Sehubungan itu, kami menghasilkan buku perutusan Naib Canselor UTM 2019 menggunakan tema Pendidikan Tinggi Berpaksikan Kemanusiaan dan tema ini dipilih memandangkan aspek kemanusiaan menjadi semakin meruncing khususnya pada Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) yang seakan menonjolkan peranan robot serta menenggelamkan peranan manusia.

“Buku itu sarat dengan pelbagai buah fikiran mengenai definisi pendidikan, strategi mengangkat kewibawaan universiti dan pendidikan tinggi, serta harapan terhadap keberhasilan nilai tinggi oleh semua warga,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Prof Wahid berkata, pendidikan berpaksikan kemanusiaan penting sejajar mendokong Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam pembentukan insan seimbang dan menyeluruh.

Katanya, lebih penting, guru berperanan menyambung misi dan dakwah Rasulullah SAW dalam mendidik masyarakat serta memelihara kesejahteraan manusia sejagat.

“Guru umpama obor yang memberi sinar harapan kepada insan yang dalam kegelapan, yang bernyala untuk menjadi panduan dan pautan pelajar yang dahagakan ketinggian ilmu, kemuliaan pekerti, serta kecelikan wawasan pendidik,” katanya.

229 dibaca
Berita Harian X