Khamis, 16 Mei 2019 | 2:33pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) menyampaikan anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2019 kepada Tuan Nawi Ismail (kanan) sambil diperhatikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (kiri) di Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia 2019 oleh Menteri Pendidikan di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Jalan Tun Dr Awang. - Foto Ramdzan Masiam

Beri insentif kepada guru lanjut pengajian

GEORGETOWN: Kementerian Pendidikan bercadang untuk memberi insentif kepada guru yang melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah sarjana (MA) dan doktor falsafah (PhD).

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata kementerian itu akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai bentuk insentif itu.

“Untuk jangka masa panjang, kita sedang merangka dan berbincang dengan pihak JPA. Insya-Allah saya juga akan minta pertolongan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru 2019 yang dirasmikan Dr Mahathir di Pusat Konvensyen SPICE di sini, hari ini.

Maszlee berkata, kementerian juga sudah menggariskan beberapa inisiatif bagi jangka masa sederhana dan panjang bagi menambah baik tugas guru.

Katanya, beberapa isu termasuklah pelaksanaan audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 yang sudah dihentikan antara inisiatif jangka sederhara yang bermula sejak Januari hingga hujung tahun ini.

“Pihak sekolah hanya perlu melaksanakan audit kendiri bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan masing-masing.

“Fasa semakan dan penilaian kendiri dibuka dua kali setahun iaitu pada Januari hingga Mac (Fasa 1) dan Ogos hingga November (Fasa 2), berbanding tiga kali sebelum ini. Sistem atas talian sentiasa dibuka untuk dikemas kini dan pemantauan,” katanya.

Beliau berkata, bermula tahun ini pengawasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dilaksanakan secara dua fasa pada Oktober dan November semasa waktu persekolahan.

“Bagi memenuhi keperluan penggantian guru bercuti, cuti bersalin dan cuti sakit melebihi 28 hari, sebanyak RM35.2 juta peruntukan disalurkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri supaya sekolah boleh menggunakan khidmat guru ganti.

“Kementerian juga sudah mengenal pasti beberapa inisiatif jangka panjang membabitkan isu lebih kompleks dan memerlukan kajian semula dasar serta peraturan sedia ada; penambahbaikan infrastruktur dan infrastruktur ICT (teknologi komunikasi maklumat); mengoptimum perjawatan serta pengisian sumber manusia di sekolah.

“Bagi inisiatif jangka panjang pula, selewat-lewatnya akan dilaksanakan hujung tahun ini. Beberapa inisiatif telah dirangka, termasuklah mengatasi masalah guru terpaksa keluar atas beberapa faktor sehingga menyebabkan mereka sukar memberikan penumpuan dalam bilik darjah.

“Prosedur operasi standard keselamatan guru juga telah siap disemak dan digubal secara menyeluruh. Antara inisiatif yang akan diberikan ialah Perlindungan Insurans Guru yang akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya.

651 dibaca
Berita Harian X