Khamis, 16 Mei 2019 | 12:28pm
AHMAD Shabri Mohd (kanan) pada sesi pembelajaran subjek Bahasa Inggeris dengan menggunakan video menerusi komputer riba di Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir, baru-baru ini. - Foto BERNAMA

Suka duka guru Pendidikan Khas

KUALA TERENGGANU: “Saya sanggup memasuki kehidupan istimewa murid-murid, asalkan mereka menjadi orang berguna dan punyai masa depan”.

Itu kata-kata seorang guru yang berhadapan dengan kanak-kanak berkeperluan khas di Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir, di sini, hingga mampu melahirkan ramai murid berjaya, terutama dalam bidang sukan.

Ahmad Shabri Mohd, 40, berkata ada yang menganggap apa yang dilakukannya mudah, dengan hanya menonton video, menyanyi, dan menari bersama-sama murid, tetapi, hakikatnya ini memerlukan masa yang panjang, terutama pelajar yang tidak mahu meneroka bidang akademik.

“Saya tidak mahu paksa mereka untuk belajar. Ada waktunya mereka enggan belajar dan mahu bermain. Jadi saya akan ikut main bersama mereka. Saya mahu mereka belajar dalam suasana yang gembira,” katanya di sini hari ini.

Penerima Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas 2018 peringkat negeri itu telah 13 tahun mengajar kanak-kanak yang mempunyai pelbagai masalah termasuk pendengaran, ‘Attention Deficit Hyperactivity Disorder’ (ADHD), autisme, palsi serebrum dan terencat akal.

Ahmad Shabri berkata, minat menjadi guru pendidikan khas timbul setelah menyertai kerja sukarelawan membantu orang kurang upaya (OKU), dan walaupun mengetahui itu bukan suatu yang mudah, namun tiada yang lebih membahagiakan apabila melihat pelajarnya menjalani kehidupan biasa seperti kanak-kanak lain.

Selain mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan, Matematik dan Bahasa Inggeris, beliau turut menghabiskan masanya di padang, melatih anak-anak murid yang berpotensi dalam bidang olahraga.

Boleh dikatakan kehidupan seharian Ahmad Shabri banyak dihabiskan bersama anak-anak muridnya, memandangkan pada sebelah pagi hingga tengah hari beliau menghabiskan masa dalam kelas, manakala pada sebelah petang masanya dihabiskan melatih anak-anak murid di padang.

“Melatih mereka di padang pun satu satu cabaran juga. Kalau kanak-kanak biasa mudah faham arahan kita. Tetapi kanak-kanak berkeperluan khas ini kadang-kadang lebih dari 10 kali arahan diberi, mereka tetap tidak boleh ikut. Itu memang memerlukan kesabaran yang tinggi,” katanya.

Selain itu, antara cabaran yang perlu dihadapinya meyakinkan ibu bapa, untuk melepaskan anak-anak berkeperluan khas mereka untuk aktif dalam olahraga.

“Ada ibu bapa yang tidak yakin anaknya boleh buat (olahraga). Segelintir ibu bapa juga yang tahu anaknya berbakat tetapi risau untuk melepaskan anaknya, kerana bimbang keselamatan mereka di padang.

“Ada (ibu bapa) yang kita boleh pujuk, kita pujuk. Yang tidak boleh pujuk kita tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya.

Ahmad Shabri mengakui pernah terfikir untuk berhenti dari melatih murid-murid dalam olahraga kerana kekangan masa bersama keluarga, tetapi hasrat itu terbatal apabila beliau memandang anak-anak didiknya.

“Bila hendak berhenti saya tengok mereka, dan saya risau jika mereka dilatih orang lain. Mereka bukan seperti kanak-kanak biasa, mungkin jurulatih lain tidak boleh sabar dengan kerenah mereka,” katanya.

Antara anak didiknya yang mencapai kejayaan membanggakan ialah Nur Hidayah Mohd Izaha, 14, yang memenangi Peserta Terbaik Kategori Pembelajaran (Perempuan) dalam Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Kebangsaan 2018.

Nur Hidayah yang mempunyai masalah pembelajaran berkata, Ahmad Shabri orang pertama yang menyedari bakatnya dalam bidang olahraga, iaitu ketika beliau berumur lapan tahun.

“Cikgu Shabri latih saya di padang dengan penuh kesabaran. Sehingga kini pun apabila telah memasuki sekolah menengah, saya tetap mahu dilatih oleh beliau, dan tidak mahu orang lain melatih saya,” kata pelajar tingkatan satu itu yang menganggap Ahmad Shabri seperti ayahnya sendiri. – BERNAMA

370 dibaca
Berita Harian X