Rabu, 15 Mei 2019 | 3:57pm

Bekas TNC UniSZA dilantik Naib Canselor UniMAP

KANGAR: Bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Ts Dr R Badlishah Ahmad dilantik Naib Canselor Universiti Malaysia (UniMAP) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Badlisah, 49, dilantik menggantikan Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal yang tamat tempoh perkhidmatan rasminya semalam, selepas menjawat jawatan itu sejak 2016.

Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin, berkata Badlishah tidak asing kerana pernah menjadi antara tenaga pengajar pada awal penubuhan UniMAP termasuk dilantik sebagai Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan.

Katanya, pihak universiti percaya dengan kelayakan dan pengalaman luas Badlishah dalam bidang kejuruteraan dan pentadbiran universiti sebelum ini dapat memacu UniMAP ke tahap lebih tinggi.

“UniMAP berbangga kerana dapat terus melahirkan generasi pemimpin berwibawa seperti beliau dan adalah menjadi harapan universiti supaya beliau dapat menggunakan semua kepakaran yang dimiliki untuk mentadbir UniMAP.

“Pada masa sama, pihak UniMAP juga merakamkan setinggi penghargaan kepada Zul Azhar yang banyak menyumbang kejayaan institusi ini apabila UniMAP memperolehi penarafan Quacquarelli Symonds (QS) - Lima Bintang bagi Audit QS Stars untuk tempoh 2019-2021.

“Selain itu, UniMAP juga disenaraikan dalam 500 universiti terbaik menerusi QS World University Ranking by Subject bagi bidang Kejuruteraan dan Teknologi 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perlantikan Badlishah yang berasal dari Kajang, Selangor, adalah bagi tempoh sehingga Mei 2022.

INFO: Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad
Asal: Kajang, Selangor
Pengalaman:

- Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Sultan Zainal Abidin

- Professor dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan UniMAP

- Pensyarah di Universiti Sains Malaysia

Akademik:

- PhD dan M.Sc in Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik di University of Strathclyde

- Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik di University of Glasgow

- Diploma Kejuruteraan Elektrik (Perhubungan) di Universiti Teknologi Malaysia

362 dibaca
Berita Harian X