Ahad, 12 Mei 2019 | 5:31pm
Pasukan MAC dari Kelab MAC Selangor menjadi juara Kejohanan UiTM Futsal Sahur Liga Ramadan 2019 malam kelmarin (10 dan 11 Mei) di Pusat Sukan, UiTM Shah Alam.
Prof Madya Dr Sarimah Ismail menyerahkan hadiah kepada Naib Juara iaitu pasukan TMT Shah Alam.

Kejohanan UiTM Futsal Sahur meriah, 30 pasukan berentap

SHAH ALAM: Pasukan MAC dari Kelab MAC Selangor muncul juara pada Kejohanan UiTM Futsal Sahur Liga Ramadan 2019 di Pusat Sukan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, yang berakhir awal pagi semalam.

Kemenangan itu membolehkan pasukan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan hamper.

Tempat kedua dimenangi oleh TMT Shah Alam, diikuti tempat ketiga, Vilia dari Bangi.

Kejohanan itu menyaksikan sebanyak 30 pasukan berentap dalam kejohanan kalah mati di hadapan ramai peminat futsal sekitar Selangor.

Kejohanan itu berjaya menarik perhatian bukan sahaja penyertaan peserta dalaman UiTM, malah dari pasukan luar dan pasukan pelajar institusi pengajian tinggi sekitar Selangor.


Penonton yang menyaksikan kejohanan sehingga tamat kira-kira jam 4.45 pagi.

Ketika kejohanan berlangsung, aktiviti jualan turut diadakan bagi memeriahkan suasana kejohanan yang julung kali diadakan khusus bagi golongan muda yang aktif dalam futsal sekitar Shah Alam.

Penasihat program, Profesor Madya Dr Sarimah Ismail, berkata kejohanan anjuran pelajar Pengurusan Sukan (Semester Empat) UiTM itu bermula selepas solat tarawih sehingga waktu sahur.

“Saya cukup bangga kerana mereka berupaya meningkatkan kesedaran gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda sekitar Selangor di samping meningkatkan kesedaran keusahawan dalam kalangan pelajar.

“Secara tidak langsung, program ini dapat mengelakkan aktiviti negatif dalam kalangan remaja, malah dapat menjadi landasan “socialization” yang sihat sesama mereka.

“Yang menariknya idea kejohanan ini iaitu futsal sahur cukup hebat,” katanya ketika ditemui di kejohanan itu.

Sungguhpun kejohanan itu berakhir hingga awal pagi iaitu sekitar jam 4.45 pagi, penonton tetap setia menunggu sehingga ke akhir kejohanan.

Ketika perlawanan berlangsung dan berhenti rehat, pengadil, pemain, pengurusan sukan dan penonton dilihat membuka juadah masing-masing dan bersahur.

Sementara itu, Pengarah Projek, Fatin Mazrina Muhamad Yusoff, berkata program itu juga dapat memberi pendedahan kepada pelajar melaksanakan program sebenar selepas pembelajaran teori di dalam kelas ‘Sport Communication’.

“Pada bulan puasa, selain diisi dengan aktiviti keagamaan, aktiviti kesukanan sebegini dilihat dapat mengimbangi cara hidup duniawi generasi Y dan belia yang sihat di negara ini,” katanya.

236 dibaca
Berita Harian X