Jumaat, 10 Mei 2019 | 8:38pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Danial Saad

Lebih 3,000 pelajar dapat manfaat program 'Food Bank'

KOTA KINABALU: Kira-kira 3,082 pelajar di sembilan universiti awam menerima manfaat daripada program Food Bank Siswa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pelajar berkenaan mahasiswa dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Kita menyasarkan 20,000 mahasiswa dari keluarga yang kurang berkemampuan daripada 20 universiti awam sehingga hujung tahun ini. Jumlah penerima di setiap universiti tidak sama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Food Bank Siswa di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini sembilan universiti awam yang melaksanakan program itu. Antaranya kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang; Kampus Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kuala Lumpur, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan yang terbaharu Universiti Malaysia Sabaha (UMS).

Katanya, 433 penuntut UMS menerima bantuan program berkenaan hari ini dan jumlah itu akan ditambah dari masa ke masa.

“Untuk permulaan, syarikat GCH Retail Sdn Bhd (Giant Hypermarket), CKS Supermarket dan Adabi akan menjadi penyumbang utama bagi program berkenaan.

“Rakan strategik program ini bagi UMS ialah Food Aid Foundation yang digerakkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar, Gerakan Pengguna Siswa dan Sukarelawan Pelajar yang menggunakan konsep ‘Food Pantry’ dan ‘Central Kitchen’,” katanya.

Saifuddin berkata, program yang berkonsepkan daripada pelajar kepada pelajar itu mengalu-alukan kerjasama dan inisiatif persatuan pelajar untuk sama-sama membantu pelajar yang memerlukan.

Beliau berkata, program itu amat menggalakkan kerana itu bukan saja membantu meringankan kos sara hidup rakyat tetapi juga sekali gus mengurangkan pembaziran makanan. – BERNAMA

454 dibaca
Berita Harian X