Selasa, 7 Mei 2019 | 2:22pm
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Kementerian Pendidikan cadang wujud akta pendidikan tinggi baharu

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan berhasrat mewujudkan akta pendidikan tinggi baharu bagi menghapuskan halangan kebebasan bersuara mahasiswa, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, akta baharu itu akan menggabungkan akta-akta berkaitan pendidikan tinggi iaitu Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 serta akta-akta lain yang dilihat relevan.

Pada masa ini, katanya pihak kementerian sedang mengambil maklum balas daripada pemegang taruh institusi pendidikan.

“Jun nanti kita akan bangunkan kerangkanya dan selepas itu kita akan bawa penyediaan nota pengaluan kepada jemaah menteri.

“Pada bulan Julai hingga Oktober pula kita akan buat sesi ‘townhall’ untuk ‘public engagement’, dan kita harap rang undang-undang baharu ini dapat dibentang di Parlimen pada 2020 selepas mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara dan kabinet,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Teo menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr S. Ananthan yang bertanya apakah kerajaan akan meminda Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 dalam usaha menghapuskan halangan kebebasan bersuara mahasiswa universiti di negara ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata dengan adanya akta baharu itu nanti, ia juga akan memberi peluang dan ruang kepada kakitangan akademik untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan lebih efektif serta akan dapat memperkaya sistem pendidikan tinggi negara. – BERNAMA

702 dibaca
Berita Harian X