Selasa, 7 Mei 2019 | 12:22pm
Prof Dr Juli Edo (tengah) bergambar bersama-sama pelajar Orang Asli selepas merasmikan Seminar Bimbingan Peperiksaan SPM BH Skor tajaan JAKOA di Ipoh, baru-baru ini. - Foto Abdullah Yusof

JAKOA, BH tingkat pendidikan Orang Asli

IPOH: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengambil inisiatif menerapkan kepentingan pendidikan dalam kalangan anak masyarakat Orang Asli bagi mengatasi masalah keciciran, sekali gus memartabat dan mengeluarkan masyarakat itu daripada jurang kemiskinan.

Ketua Pengarah JAKOA, Prof Dr Juli Edo, berkata sehubungan itu, jabatannya bekerjasama dengan BH untuk tahun kedua, menganjurkan Seminar Bimbingan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) BH Skor bagi membolehkan anak masyarakat Orang Asli bersedia menghadapi peperiksaan itu pada penghujung tahun ini.

Beliau berkata, kegagalan anak masyarakat Orang Asli bukan kerana golongan itu tidak mempunyai pengetahuan dalam pembelajaran, sebaliknya mereka tidak memahami kehendak soalan peperiksaan.

“Dengan adanya program berkenaan, pelajar Orang Asli mendapat pendedahan dari segi panduan menjawab peperiksaan, sekali gus menganalisis jawapan berdasarkan kehendak soalan.


Ketua Pengarah JAKOA, Prof Dr Juli Edo.

“Kita mahu memberi semangat yang lebih baik untuk mereka menghadapi peperiksaan kerana secara psikologinya, mereka ini tidak bersedia, malah JAKOA juga memerlukan kerjasama daripada agensi lain bagi menunaikan tanggungjawab untuk memartabatkan masyarakat Orang Asli serta perlu menghasilkan formula yang sesuai bagi mengatasi keciciran mereka dalam bidang akademik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup seminar berkenaan yang disertai seramai 70 pelajar Orang Asli dari seluruh Perak, di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah JAKOA Perak dan Kedah, Tijah Hasan dan Pengarang Kandungan Bahasa Melayu, Jabatan Vertikal Pendidikan The New Straits Times Press (NSTP), Ridzuan Yop.

Prof Juli berkata, pendidikan satu daripada cara masyarakat Orang Asli dapat keluar daripada jurang kemiskinan, mendapatkan pekerjaan dalam sektor kerajaan dan menaik taraf kehidupan mereka.

“Sekiranya anak Orang Asli tidak mahu sekolah, bukan sahaja kerja moden tidak boleh buat, malah kerja kampung juga tidak mampu dilakukan.

“Bagaimanapun, jika mereka mempunyai pendidikan, mereka boleh keluar daripada jurang itu dan tidak terlalu bergantung kepada sumber semula jadi sebagai sumber pendapatan,” katanya.


Karmilawati Karim.

Sementara itu, anak Orang Asli, Karmilawati Karim, 17, dari Chemor, dekat sini, berkata kesusahan kedua-dua ibu bapa serta kejayaan abang dan kakak bekerja dalam sektor kerajaan mendorong dirinya menyertai program Seminar Bimbingan Peperiksaan SPM BH Skor.

“Dengan menyertai seminar ini saya yakin dapat melakukan persiapan lebih baik untuk belajar dan memahami cara menjawab dengan betul serta berkesan bagi meraih markah tertinggi seterusnya mendapat keputusan yang cemerlang,” katanya.

148 dibaca
Berita Harian X