Isnin, 22 April 2019 | 5:09pm
Dari kanan, Muhamad Aiman Azeze, Ahmad Thaqif Aisar Abd Hadi dan Darwish El Farris Ahmad Zaini bersama guru pembimbing, Dr S Shantarasekaran merangkul Anugerah Perak pada Festival Ciptaan Antarabangsa dan Inovasi Teknologi Hijau 2019 (i-Finog) di UMP, Pahang.

Murid SK Bandar Behrang 2020 harumkan nama negara

BEHRANG: Tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Behrang 2020 di sini merangkul Anugerah Perak pada Festival Ciptaan Antarabangsa dan Inovasi Teknologi Hijau 2019 (i-Finog) di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Pahang, semalam.

Darwish El Farris Ahmad Zaini, 10; Ahmad Thaqif Aisar Abd Hadi, 11; dan Muhamad Aiman Azeze, 12; memenangi anugerah itu melalui inovasi penyedut minuman bio yang dihasilkan daripada daun serai dan kertas bagi menggantikan penyedut minuman plastik.

Mereka yang dibimbing guru Sains, Dr S Shantarasekaran, memenangi anugerah itu pada pertandingan yang disertai 338 pasukan termasuk dari Kazakhstan, India, Jerman, Indonesia dan Sudan.

Shantarasekaran berkata, penyedut minuman semula jadi yang dikenali ‘BioSegar EcoStraw’ itu bersifat mesra alam dihasilkan melalui projek inovasi murid bertujuan menggantikan penggunaan penyedut minuman plastik sedia ada.

“Penyedut minuman bio ini mudah dilupuskan jika dibuang kerana diperbuat daripada bahan semula jadi jika dibandingkan dengan penyedut minuman plastik.

“Walaupun gagal mengekalkan Anugerah Emas yang dimenangi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok, Kedah, bulan lalu, ia tidak akan mematahkan semangat mereka untuk terus mencuba dalam pertandingan lain.

“Paling penting mesej yang hendak disampaikan kepada masyarakat hari ini bahawa mereka mempunyai pilihan untuk menggunakan penyedut minuman yang lebih selamat dan mempunyai aroma yang unik,” katanya.

Shantarasekaran berkata, penggunaan penyedut minuman bio itu juga dapat membantu mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar, sekali gus memberikan pilihan kepada pengguna untuk terus menggunakan penyedut minuman mesra alam.

Berita Harian X