Jumaat, 19 April 2019 | 7:22pm

Rayuan matrikulasi ditutup 29 April

PUTRAJAYA: Pelajar yang tidak mendapat tawaran ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan dinasihatkan supaya mengemukakan rayuan.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, rayuan boleh dibuat secara dalam talian, serahan tangan, pos, faksimili dan e-mel sehingga Isnin ini.

Katanya, keputusan permohonan rayuan boleh disemak melalui laman sesawang Kementerian Pendidikan, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau talian telefon Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan mulai 21 Mei ini.

Kenyataan itu turut menjelaskan matlamat asal Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan untuk membangunkan potensi pelajar Bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan profesional melalui pendidikan prauniversiti yang berkualiti bagi melahirkan modal insan yang cemerlang.

“Dasar pengambilan program itu pada tahun ini masih mengekalkan 90 peratus tempat kepada Bumiputera dan 10 peratus tempat kepada bukan Bumiputera, berdasarkan sistem meritokrasi.

“Kiraan merit pula dijalankan berdasarkan kepada empat mata pelajaran mengikut bidang yang dimohon. Empat mata pelajaran berkenaan berbeza-beza berpandukan bidang yang ada dalam program ini iaitu sains, perakaunan atau kejuruteraan.

“Ini bermakna, jika seseorang pelajar mendapat 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pengiraan merit hanya tertakluk kepada empat subjek tertentu saja.

“Pada masa sama, dasar sedia ada pengambilan pelajar ke program ini ditentukan melalui 90 peratus pencapaian akademik dan 10 peratus pencapaian kokurikulum,” katanya.

Kementerian Pendidikan turut memaklumkan, penawaran 2,200 tempat kepada kaum India pada pengambilan 2018 oleh kerajaan terdahulu bersifat ‘one-off’, berdasarkan kepada keperluan semasa dan membabitkan kekosongan kuota Bumiputera yang tidak diisi.

“Hal yang sama juga dilaksanakan dalam amalan penawaran 1,000 tempat untuk kaum Cina yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 yang turut bersifat ‘one-off’, berdasarkan kepada keperluan dan membabitkan kekosongan kuota Bumiputera yang tidak diisi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, selaras hasrat kerajaan untuk memperkasa golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terrendah (B40), dasar pengambilan ke Program Matrikulasi tahun ini memperuntukkan 60 peratus tempat kepada pelajar dari golongan B40 dan baki 40 peratus kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) dan berpendapatan tinggi (T20).

“Pelaksanaan dasar baharu ini lebih seimbang dengan memberi peluang kepada pelajar yang layak dan pada masa sama memberi fokus kepada golongan B40 secara bersasar.

“Kementerian Pendidikan mengambil maklum pandangan dan saranan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak sejak keputusan kemasukan ke Program Matrikulasi diumumkan,” katanya.

Berita Harian X