Khamis, 18 April 2019 | 4:05pm
AIMY Alisha Charlie bersama suaminya, Amrin Anuar menunjukkan Anugerah Khas Presiden yang diterima selepas Majlis Anugerah Senarai Presiden Sesi 2017/2018 di MSU, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

20 jam memandu untuk ambil peperiksaan

SHAH ALAM: Dua tahun menempuh perjalanan selama 20 jam untuk ke kampus setiap kali ujian dan peperiksaan membuahkan hasil bagi pasangan suami isteri apabila menerima Anugerah Senarai Presiden Management & Science University (MSU) sesi 2017/2018, di sini, hari ini.

Penuntut MSU College cawangan Sarawak, Aimy Alisha Charlie, 32 dan suaminya Amrin Anuar, 38, menerima anugerah berkenaan selepas memperoleh Purata Nilai Gred Semester (PNGS) 3.5 ke atas untuk tiga semester berturut-turut.

Aimy Alisha yang bertugas sebagai pembantu di Pejabat Belia dan Sukan Limbang, Sarawak itu berkata, beliau dan suami perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran dan pekerjaan selain perlu menguruskan dua anak.

“Kami perlu bijak bahagi masa untuk waktu belajar. Selalunya, kami akan uruskan anak-anak terlebih dahulu. Apabila, mereka tidur baru kami akan membuat tele persidangan bersama pensyarah selain menyiapkan tugasan yang diberikan.

“Saya dan suami berazam untuk mengubah nasib kami sekeluarga ke arah yang lebih baik. Sampai bila nak tolong orang membuat ‘photostat’ sahaja.

“Tidak menjadi masalah walaupun kami perlu memandu selama 20 jam untuk ke kolej yang terletak di Kuching bagi mengambil ujian serta peperiksaan akhir semester,” katanya yang kini berada di semester empat Diploma Pengurusan menerusi program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ).

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Presiden MSU dan MSU College, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Sementara itu, Mohd Syukri berkata, seramai 330 penuntut menerima Anugerah Senarai Presiden sebagai pengiktirafan berikutan kecemerlangan mereka dalam akademik dan komponen kemahiran insaniah.

Beliau berkata, anugerah itu diberikan selepas penuntut berkenaan berjaya memperoleh pencapaian PNGS 3.5 dan ke atas untuk tiga semester berturut-turut.

“Seramai 18 penuntut menerima Anugerah Khas Senarai Presiden atas pencapaian PNGS 3.75 dan ke atas bagi tiga semester berturut-turut selain komponen kemahiran insaniah,” katanya.

Katanya, MSU adalah kolej terbaik di Malaysia apabila mendapat pengiktirafan oleh Kementerian Pendidikan dan tersenarai antara 15 institusi pengajian tinggi swasta dianugerahkan penarafan enam bintang menerusi MyQUEST 2016/2017 bagi kategori berasaskan kolej.

“MSU College adalah kolej bersekutu kepada MSU yang memberi keutamaan kepada pendidikan berkualiti dengan penggunaan kaedah pengajaran kreatif ke arah melahirkan graduan yang kompeten dan versatil,” katanya.

Penerima anugerah terdiri daripada mereka yang mengikuti program pengajian peringkat diploma dan sijil dalam pelbagai bidang pengajian dari cawangan MSU College antaranya Sabah, Shah Alam, Sarawak, Kota Bharu, Terengganu, Seremban, Sungai Petani, Pulau Pinang dan MSU Learning Centre (MLC) Sentral.

808 dibaca
Berita Harian X