Ahad, 7 April 2019 | 4:52pm
- Ihsan FB UMP Malaysia

Prof Dr Kamal TNC baharu UMP

KUANTAN: Dekan Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Dr Kamal Zuhairi Zamli dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) untuk tempoh tiga tahun, berkuat kuasa 15 Mac lalu.

Naib Canselor UMP, Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata, Dr Kamal Zuhairi berkhidmat sebagai pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum berkhidmat di UMP mulai 2012.

“Dr Kamal Zuhairi juga pernah menyandang jawatan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) di universiti ini pada 2013 sehingga 2015.

“Pelantikan ini menggantikan Prof Datuk Dr Mashitah Mohd Yusoff dalam menggalas tanggungjawab mengetuai penyelidikan dan inovasi di UMP dan pihak UMP turut merakamkan penghargaan kepada Dr Mashitah atas khidmat bakti sepanjang memegang jawatan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dr Kamal Zuhairi memiliki kelulusan Ijazah Doktor Falsafah (Kejuruteraan Perisian) University of Newcastle Upon Tyne, United Kingdom sejak 2003.

Sebelum itu, beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Worcester Polytechnic Institute, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Perisian dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

201 dibaca
Berita Harian X