Sabtu, 6 April 2019 | 4:47pm
Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran. - NSTP/Khairull Azry Bidin

Lulusan UEC layak ke program TVET

IPOH: Lulusan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) layak untuk menyambung pengajian dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir tempatan.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata bagaimanapun mereka perlu menjalani Ujian Kecenderungan Kemahiran (UKK) terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian atau latihan dalam bidang berkenaan.

“Kita mahu lebih ramai pelajar (mengambil TVET) dan kita mahu mempermudahkan. Tak kisah jika mereka berkelulusan UEC atau pelajar dari sekolah Cina atau Tamil. Semua orang boleh ambil TVET.

“Ini kerana ketika ini kerajaan memperuntukan lebih kurang RM4 bilion setahun dalam bidang TVET. Jadi, kita perlu lebih ramai golongan muda menyertai TVET kerana kita tidak mahu mereka ketinggalan sekiranya tidak mempunyai kelulusan akademik yang baik,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Dialog Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Cawangan Perak anjuran Jabatan Tenaga Manusia di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini hari ini.

Sijil UEC ialah peperiksaan yang dikendalikan oleh badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.

Dalam pada itu, Kulasegaran berkata, pihaknya mahu menarik lebih ramai masyarakat Orang Asli yang tidak mempunyai sebarang kelayakan untuk menyertai bidang TVET.

“Mengapa tidak kita beri peluang kepada Orang Asli mengikuti kursus-kursus kemahiran. Kita beri sedikit kelonggaran asalkan mereka boleh menulis dan memahami sesuatu perkara berkaitan sudah cukup untuk mereka menyertai TVET,” katanya.

Kulasegaran berkata, ketika ini jumlah tenaga kerja mahir hanya sebanyak 28 peratus, berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 35 peratus menjelang tahun depan. - BERNAMA

1263 dibaca
Berita Harian X