Khamis, 14 March 2019 | 6:30pm
Anis Amira menunjukkan slip keputusan SPM 2018 selepas diumumkan antara pelajar cemerlang di SMK Seksyen 18, Shah Alam, hari ini.

'YouTube pencetus 10A'

SHAH ALAM: Keputusan kurang baik, termasuk mendapat gred C+ pada peperiksaan pertengahan tahun mendorong Anis Amira Ahmad, 18, memperbaiki segala kelemahan sehingga berjaya meraih 10A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

Calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18 itu berkata, selepas memperoleh markah hanya 56 peratus bagi Matematik pada peperiksaan dikendalikan sekolah, Jun tahun lalu, dia diselubungi kebimbangan apabila memikirkan keputusan SPM kelak.

“Namun, saya nekad untuk meningkatkan usaha, mencatatkan keputusan lebih baik dan membanggakan guru serta ibu bapa.

“Alhamdulillah, pada peperiksaan percubaan SPM, saya mendapat 8A dan 2B, malah tidak menjangkakan mampu meraih 10A pada peperiksaan sebenar,” katanya selepas Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2018 di sekolahnya, di sini, hari ini.


Anis Amira (berdiri kanan) dan pelajar SMK Seksyen 18, Shah Alam yang memperoleh keputusan cemerlang pada SPM 2018 bergambar bersama pengetua serta guru.

Pengumuman itu menyaksikan seramai 55 calon sekolah asrama harian berkenaan mencatatkan keputusan cemerlang dengan lima calon meraih 11A, 10A (empat calon), 9A (10 calon), 8A (16 calon) dan 7A (20 calon).

SMK Seksyen 18 Shah Alam turut mencipta kejayaan hatrik apabila berjaya mengekalkan kelulusan 100 peratus pada SPM 2018, seperti diraih pada 2016 dan 2017.

Lebih menggembirakan, sekolah itu diumumkan kekal sebagai antara lima sekolah asrama harian terbaik di daerah Petaling Perdana dengan peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) daripada 3.20 kepada 3.17.

Ditanya mengenai resipi kejayaannya, Anis Amira berkata, dalam tempoh empat bulan menjelang peperiksaan SPM itu, dia menggunakan kemudahan internet yang disediakan bapa di rumah untuk mengakses maklumat dan latihan secara talian.

Beliau berkata, antara kaedah itu adalah melayari laman sosial YouTube untuk menonton video pendidikan dan perkongsian teknik ulang kaji ditawarkan secara percuma di saluran terbabit.

Katanya, banyak dipelajarinya melalui video, seperti bagaimana sebutan dan makna ayat, selain cara tepat menghasilkan karangan, terutama membabitkan mata pelajaran Bahasa Arab serta Sejarah.

“Saya juga belajar menggunakan jadual, memastikan tugasan diberikan guru diselesaikan dan melakukan latihan disediakan sekolah, malah membuat latihan tambahan dengan menggunakan bahan rujukan bersesuaian serta ringan mulut bertanya kepada guru atau rakan,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Seksyen 18 Shah Alam, Ahmad Kamal Idris, berkata pencapaian baik sekolah disumbangkan komitmen berterusan warga guru, pelajar, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa.

Beliau berkata, pihaknya mempersiapkan calon SPM sekolah itu secara konsisten sejak awal ketika mereka di Tingkatan Empat, seperti mengadakan program Zalul Imtiaz, iaitu bengkel teknik menjawab soalan secara tepat.

“Kelas tambahan malam turut diadakan kepada pelajar yang menginap di asrama dan menariknya, terdapat ibu bapa berkebolehan mengajar memberikan tuisyen secara percuma kepada pelajar pada waktu itu,” katanya.

Berita Harian X