Khamis, 14 March 2019 | 1:23pm
Mohd Izza bersama ibu, Aishah Karim, 55 dan bapa, Jamaludin Saad, 61, pada majlis pengumuman keputusan SPM 2018 di Jabatan Pendidikan Selangor, Klang. - NSTP/Norzamira Che Noh

Penghidap 'spinal muscular atrophy' cemerlang SPM

SHAH ALAM: Walaupun fizikalnya berlainan daripada rakan seusianya, malah terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda, ia tidak menghalang pelajar ini memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Sri Andalas Klang, Mohd Izza Husaini Jamaludin, 18, adalah orang kelainan upaya (OKU) sejak kecil kerana masalah otot di tulang belakang atau ‘spinal muscular atrophy’ (SMA).

Beliau yang memperoleh keputusan cemerlang 9A (6A+, 3A) itu turut dinobatkan sebagai pelajar cemerlang SPM peringkat Selangor (kategori calon keperluan khas) tidak pernah menjadikan kekurangan sebagai penghalang untuk cemerlang.

“Pada awalnya, saya tidak sangka akan mendapat keputusan sebaik ini. Bagaimanapun segala usaha saya ternyata berhasil dan saya amat bersyukur serta lega dengan keputusan yang diperoleh hari ini.

“Terima kasih juga kepada ibu bapa serta rakan-rakan yang sering membantu saya selama ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman keputusan SPM di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Mohd Izza memaklumkan beliau masih belum membuat pilihan untuk melanjutkan pelajaran bagaimanapun bidang akaun mungkin menjadi pilihan utamanya.

Seorang pelajar cemerlang kategori B40, Hing Wan Yee dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yoke Kuan berkata, walaupun dibesarkan dalam keluarga yang kurang berkemampuan, beliau yakin dengan semangat serta kerajinan kejayaan boleh diraih.

“Saya sering mengingatkan diri supaya perlu sentiasa berusaha dan rajin jika ingin mengubah masa depan keluarga dan jangan jadikan kesusahan keluarga sebagai alasan.

“Secara jujur, saya memang jarang mengulangkaji pelajaran di rumah sebaliknya lebih fokus ketika berada di dalam kelas,” katanya.

Beliau yang mendapat keputusan cemerlang 12A (11A+, 1A) bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dalam bidang kejuruteraan.

Sementara itu, Pengarah JPS, Mohd Salleh Mohd Kassim berkata, Gred Purata Negeri (GPN) SPM 2018 mengalami peningkatan yang positif sejak tiga tahun berturut-turut.

“GPN Selangor pada tahun ini adalah 4.89 berbanding 4.92 pada 2017 dan 5.05 pada tahun 2016. Peningkatan gred purata sebanyak 0.03 mata itu adalah pencapaian terbaik dalam tempoh tiga tahun.

“Seramai 1,510 pelajar cemerlang (mendapat keputusan A+, A, A-) direkodkan pada SPM 2018 dan secara keseluruhan seramai 54,093 pelajar layak mendapat sijil,” katanya.

721 dibaca
Berita Harian X