Isnin, 11 March 2019 | 6:35pm
GELAGAT pelajar mengambil keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 di Kolej Tingkatan 6 Petaling Jaya. - Foto Asyraf Hamzah

2 pelajar KT6PJ lulus cemerlang STPM

PETALING JAYA: Tekad mengikuti jejak langkah ahli keluarga untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ternyata tepat bagi dua pelajar Kolej Tingakatan Enam Petaling (KT6PJ) berjaya mendapat keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Salah seorang daripada mereka, Sawyu Chi, 20, berkata hakikat bahawa semua ahli keluarganya menduduki STPM membuatkannya selesa untuk mengikut jalan yang sama dan amat gembira dengan keputusannya itu.

“Ini secara tidak langsung menafikan tanggapan sebahagian besar pelajar mahu pun ibu bapa bahawa mengambil STPM hanya membuang masa.

“Namun, bagi saya, ia menjadi pengalaman cukup bermakna kerana dapat membentuk saya menjadi pelajar yang lebih baik dan mampu lulus cemerlang..

“Saya begitu bangga apabila mendapat keputusan kerana inilah yang saya mahukan,” katanya ketika ditemui pemberita di KT6PJ hari ini.

Beliau, yang mengakui lebih selesa belajar sendiri daripada mengambil kelas tambahan, mahu memohon untuk memasuki universiti dan luar negara.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Chow Khai Shian, 20, berkata abangnya yang menduduki STPM menjadi faktor pendorong utama untuk mengikuti jejak langkahnya.

“Saya yakin dengan keupayaan akademik saya dan memilih untuk membuat STPM kerana sukakan cabaran serta bertekad untuk mendapat keputusan yang lebih baik daripada abang saya.

“Matlamat saya adalah untuk mengikuti jurusan perubatan dan berharap keputusan ini cukup bagi melayakkan saya mendapat tempat di universiti awam, sekali gus menjimatkan perbelanjaan.

“Untuk mendapat keputusan yang cemerlang, seorang pelajar tidak boleh mempunyai ketagihan atau taksub terhadap elemen lain seperti permainan video, filem, drama atau apa-apa saja yang boleh menjejaskan pembelajaran,” katanya.

Kolej Tingkatan Enam adalah sekolah yang dikhususkan untuk pelajar tingkatan enam saja, yang perlu menghabiskan sesi akademik setahun setengah menerusi tiga semester.

Berita Harian X