Khamis, 7 March 2019 | 1:52pm
MENTERI Sumber Manusia, M Kulasegaran. - Foto Khairull Azry Bidin.

Lembaga bantu graduan kemahiran

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia akan menubuhkan Lembaga Pengurusan Institut-Industri (IIMB) di semua Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia bagi meningkatkan latihan dan pembangunan tenaga mahir.

Menterinya, M Kulasegaran, berkata IIMB akan dianggotai oleh sembilan ahli yang merangkumi majikan yang berdaftar di bawah Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), kesatuan sekerja, persatuan majikan dan wakil Jabatan Tenaga Manusia.

Beliau berkata, buat permulaan sebanyak tiga institusi dipilih untuk projek perintis berkenaan antaranya Institut Teknikal Jepun-Malaysia, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam dan Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur.

“Saya berharap penubuhan IIMB ini akan menjadi satu inisiatif yang berkesan bagi memastikan kemudahan latihan, kurikulum dan kemahiran pengajar di setiap institusi relevan kepada kehendak industri.

“Kualiti graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aspek yang penting dalam menjana sumber manusia negara. Oleh yang demikian, Malaysia perlu memastikan jurang kemahiran yang dimiliki graduan TVET dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri adalah seiring bagi menghasilkan tenaga mahir yang menepati kehendak industri.

“Institusi TVET mesti beranjak ke arah program latihan yang bersifat ‘industry-driven’, atas sebab itu pihak industri dan institusi perlu bekerjasama untuk membangunkan kursus dan program yang menepati kehendak industri tempatan. Dengan cara berkenaan, ia akan menggalakkan belia menceburi bidang TVET,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman bagi kerjasama di antara Jabatan Tenaga Manusia dan PSMB,, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, Kulasegaran menyaksikan tiga perjanjian iaitu di antara PSMB, Jabatan Tenaga Manusia, Pusat Kemahiran Pembangunan Pulau Pinang dan First Solar Malaysia Sdn Bhd.

Antara pengisian perjanjian ialah First Solar Malaysia Sdn Bhd akan menghantar 500 pekerja untuk mendapatkan latihan kemahiran di ADTEC Kulim dengan kos Pensijilan Pencapaian Terdahulu yang akan dibiayai oleh PSMB bagi pekerja yang layak.

654 dibaca
Berita Harian X