Sabtu, 2 March 2019 | 8:19pm
MASZLEE Malik (dua dari kanan) diiringi Naib Canselor UTHM, Prof Dr Wahid Razzaly (dua dari kiri) melakukan gimik perasmian ketika Majlis Perasmian Jom Masuk IPT 2019 di Dewan Sultan Ibrahim UTHM, Batu Pahat. - Foto Adi Safri

Empat kumpulan bersaing sesama sendiri ke IPT

BATU PAHAT: Kementerian Pendidikan menyediakan laluan khas kepada empat golongan memasuki universiti awam (UA).

Mereka ialah orang kelainan upaya (OKU), Orang Asli, pelajar isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan atlet negara.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata kumpulan terbabit tidak perlu bersaing dengan calon dari kumpulan arus perdana dan hanya perlu memenuhi syarat khas yang sudah ditetapkan oleh UA yang dipilih.

Selain itu, katanya, golongan terbabit juga disaring dalam kalangan kelompok mereka saja bagi membolehkan mereka dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

“Jadi untuk empat golongan ini, kita beri laluan khas kepada mereka dan bagaimanapun mereka masih dipilih berdasarkan merit tetapi sesama mereka sahaja. Pertamanya ialah OKU, kita akan pilih antara OKU yang terbaik untuk masuk ke UA.

“Keduanya ialah Orang Asli. Kita nak ramaikan bilangan mereka ini dapat belajar di IPT serta mereka juga akan bersaing sesama mereka dan kita akan pilih yang terbaik dalam kalangan mereka. Begitu juga dengan golongan miskin, berpendapatan rendah atau B40 yang akan turut menjalani proses yang sama.

“Tidak dilupakan ialah atlet kerana kita nak lahirkan lebih ramai atlit seperti di negara maju, Contohnya di Amerika Syarikat yang atletnya mendapat pendidikan universiti. Kita juga nak ramai atlet kita juga dapat melanjutkan pelajaran mereka kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Jom Masuk IPT 2019 di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Hal Ehwal Islam Johor, Aminolhuda Hassan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Dr Hamisah Tapsir dan Naib Canselor UTHM, Prof Dr Wahid Razzaly.

Dr Maszlee berkata, dasar laluan khas itu ialah manifestasi kepada konsep pendidikan untuk semua yang bertunjang kepada falsafah peluang yang saksama kepada semua pihak.

Ditanya mengenai status cadangan penubuhan cawangan Universiti Muhammadiah yang tidak diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, baru-baru ini bagi mengelak kekeliruan, perbalahan dan perpecahan umat Islam di negeri ini, Dr Maszlee bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Bagaimapun, beliau hanya memaklumkan beberapa universiti luar negara termasuk dari Jepun dan United Kingdom (UK) menyatakan minat membuka cawangan di negara ini.

Berita Harian X