Isnin, 25 Februari 2019 | 3:36pm
RAJA MUDA KEDAH, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin (kanan) berkenan menerima watikah pelantikan dan pemasyhuran sebagai Canselor MSU daripada Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid pada Majlis Konvokesyen MSU Ke-24 di MSU Shah Alam, kelmarin. Foto Faiz Anuar

Raja Muda Kedah dimasyhur Canselor baharu MSU

SHAH ALAM: Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dimasyhurkan sebagai Canselor baharu Management and Science University (MSU).

Pemasyhuran dibuat sempena Majlis Konvokesyen MSU Ke-24, yang berlangsung kelmarin.

Baginda menggantikan Che Puan Besar Kedah Hajah Haminah Hamidun yang sebelum ini menjadi Canselor MSU pertama selama 15 tahun.

Pemasyhuran dibuat berdasarkan pengalaman luas baginda dan yakin ia akan memacu peranan MSU dalam bidang pendidikan tinggi di Malaysia dan Asia seiring dengan visi MSU, Transforming Lives, Enriching Future.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin; Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Naib Canselor MSU, Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.

Pada majlis berkenaan, MSU turut menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Pengurusan Pendidikan kepada Tokoh Pendidikan Indonesia selaku Direktur Eksekutif Badan Akreditas Nasional Perguruan Tinggi Indonesia, Prof Dr T Chan Basaruddin.

Sementara itu, Mohd Shukri ketika sidang media berkata, pemasyhuran berkenaan dianggap sebagai satu detik sejarah di MSU.

Katanya, dengan pemasyhuran Tengku Sarafudin Badlishah, ia meneruskan tradisi Che Puan Besar Kedah Hajah Haminah sebelum ini yang juga dari Istana Kedah.

“Saya amat kagum dengan komitmen baginda dalam bidang pendidikan yang dilihat amat menitikberatkan bidang pendidikan kepada generasi akan datang,” katanya.

Pada majlis berkenaan, pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Tengku Sarah Tengku Ahmad Zulkifli dipilih menerima Anugerah Pingat Emas Canselor.

Seramai 59 graduan MSU menerima Anugerah Akademik dan Anugerah Industri dengan 1,811 graduan diraikan dalam tiga sidang majlis konvokesyen mengikut fakulti serta pusat pengajian masing-masing sepanjang dua hari.

Pada majlis konvokesyen itu, 43 graduan dianugerahkan doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana (18), ijazah (1,171) dan diploma (577).

376 dibaca
Berita Harian X