Khamis, 21 Februari 2019 | 3:35pm
Anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu mengeluarkan notis kepada pelajar ketika pemeriksaan kenderaan di SMK Tapu. - NSTP/Baharom Bakar

Pelajar mesti patuh peraturan lalu lintas

KUALA TERENGGANU: Tiada lesen memandu dan tidak memakai topi keledar antara kesalahan dilakukan pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata kesalahan lain ialah tiada cermin sisi, tiada perlindungan insurans, menunggang di bawah umur 16 tahun, motosikal tidak mempunyai nombor pendaftaran dan Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh.

Katanya, kesalahan itu dikesan dalam operasi didik dan pemeriksaan kenderaan yang bertujuan mendisiplinkan diri dan patuh kepada peraturan undang-undang jalan raya dalam kalangan pelajar.

“Pelajar yang didapati melakukan kesalahan itu tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang. Sebaliknya mereka hanya diberi notis pemberitahuan kesalahan yang dilakukan,” katanya ketika mengulas operasi didik dan pemeriksaan dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tapu, di sini, hari ini.

Turut sama menyertai operasi itu ialah Pengetua SMK Tapu, Tengku Mohd Nazari Tengku Ngah dan ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Mohd Adli berkata, operasi itu bukan untuk mengambil tindakan ke atas pelajar, sebaliknya mendidik pelajar terutamanya yang berulang alik ke sekolah menaiki motosikal supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas.

Katanya, operasi didik dan pemeriksaan kenderaan dalam kawasan sekolah akan terus diadakan bagi membantu pengurusan sekolah dalam menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar.

“Kita akan meneruskan langkah proaktif pencegahan jenayah dan keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar sekolah, selain menjalinkan kerjasama di antara polis dan pengurusan sekolah, terutamanya membabitkan keselamatan jalan raya.

“Dalam operasi didik dan pemeriksaan kenderaan diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu, Inspektor Zainon Abidin Ismail selama kira-kira dua jam itu, 44 notis kesalahan dikeluarkan kepada pelajar,” katanya.

Berita Harian X